Wednesday, April 13, 2016
PRN Sarawak : PKR Tiada Kaitan Dengan PAS - Baru Bian
PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menolak sebarang
perbincangan dengan PAS berhubung isu pengagihan kerusi menjelang
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 tidak lama lagi.
Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata, penyertaan PAS dalam PRN kali
ini tidak menjadi pertimbangan parti itu kerana mereka bukan sebahagian
daripada pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Amanah Negara
(Amanah).
"PAS tiada kaitan dengan kami. Di mana PAS mahu bertanding, itu hak
mereka. PAS bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan," katanya ketika
dihubungi media di sini.
Sebelum ini, media melaporkan kesediaan PAS berhadapan
pertembungan dengan parti komponen pakatan pembangkang di beberapa
kerusi PRN Sarawak akan datang.
Malah Setiausaha PAS Sarawak, Muhtar Suhaili berkata, parti itu
menjangkakan bakal berlaku perebutan di sekurang-kurangnya lima kerusi
membabitkan PKR dan DAP.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada 6 April lalu mengumumkan bahawa
parti itu akan bertanding di 11 kerusi iaitu Samariang, Pantai Damai,
Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Samalaju,
Lambir dan Pujut.
Sementara itu, Baru yang juga penyandang kerusi DUN Ba'kelalan berkata,
PKR sedang mengintai untuk bertanding di sekurang-kurangnya 40 daripada
82 kerusi yang dipertandingkan.
"Isu agihan kerusi belum selesai...belum muktamad. Perbincangan antara PKR, DAP dan Amanah masih berjalan.
"Namun PKR berharap dapat meletakkan calon di 40 kawasan. Selebihnya terpulang kepada DAP dan Amanah," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment