KENYATAAN AKHBAR
YAB PERDANA MENTERI
MESYUARAT MAJLIS PERUMAHAN NEGARA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia
1. Sebentar tadi saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Negara Siri 4, Bilangan 1 Tahun 2016.
2. Mesyuarat MPN ini telah membincangkan mekanisme pelaksanaan
beberapa inisiatif dalam pemilikan rumah untuk rakyat seperti yang telah
saya umumkan semasa pembentangan Bajet 2016 pada Oktober tahun lepas
dan Pengubahsuaian Bajet 2016 pada Januari yang lalu.
3. Mesyuarat MPN telah bersetuju terhadap pelaksanaan perkara-perkara berikut:
4. Pertama, Skim Pembiyaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang
diumumkan semasa Pembentangan Bajet 2016 akan mula dilaksanakan mulai
hari ini, 6 April 2016. Skim ini adalah untuk membantu kumpulan sasaran
yang mempunyai pendapatan isi rumah 10 ribu ringgit dan ke bawah.
5. Pemberian sumbangan sebanyak 10% daripada harga jualan atau
maksima 30 ribu ringgit (yang mana lebih rendah) kepada pembeli rumah
pertama untuk membantu mereka membeli rumah yang berharga 500 ribu
ringgit dan ke bawah.
6. Pemohon boleh membuat permohonan atas talian untuk skim ini mulai
esok melalui laman web Jabatan Perumahan Negara, Kementerian
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
7. Kedua, penjualan rumah berharga sehingga 300 ribu ringgit kepada
hanya pembeli rumah pertama seperti yang diumumkan dalam Pengubahsuaian
Bajet 2016 akan mula dilaksanakan mulai bulan ini.
8. Bagi menggalakkan pemaju swasta untuk membina lebih banyak rumah
berharga sehingga 300 ribu ringgit ini, KPKT telah menetapkan beberapa
insentif kepada pemaju seperti:
i. bagi rumah-rumah yang berharga RM300 ribu ringgit ke bawah, nilai
deposit kekal di paras RM200 ribu ringgit. Kadar semasa nilai deposit
adalah sebanyak 3% daripada anggaran kos pembinaan (Gross Development
Cost, GDC; dan
ii. bagi pembangunan bercampur (mixed development), nilai deposit
adalah berdasarkan baki pemajuan rumah-rumah yang berharga melebihi 300
ribu ringgit.
9. Seterusnya, MPN kali ini juga mengambil maklum mengenai 2 perkara:
10. Pertama, status Pelaksanaan 1 Juta Rumah Mampu Milik menjelang tahun 2018. Setakat 31 Disember 2015:
• 17% atau 183,755 unit rumah telah siap dibina;
• 19% atau 214,011 unit sedang dalam pembinaan; dan
• 28% atau 309,571 unit dalam pelbagai peringkat perancangan
11. Seperti semua sudah maklum, pelaksanaan inisiatif ini membabitkan
usaha pelbagai pihak dari peringkat Persekutuan, Kerajaan Negeri juga
sektor swasta. Terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada semua dalam
usaha ini.
12. Kedua, juga susulan daripada pengumuman saya semasa
Pengubahsuaian Bajet 2016, Karnival Rumah Mampu Milik akan mula
dilaksanakan secara bersepadu diantara agensi-agensi seperti JPN, PR1MA,
SPNB, Kementerian Wilayah Persekutuan, PPA1M dan pemaju swasta.
13. Karnival yang akan dilaksanakan mengikut zon ini, akan bermula
dengan Zon Tengah iaitu di MAEPS, Serdang pada Julai 2016 yang akan
menawarkan lebih daripada 50 ribu unit rumah untuk dijual.
14. Akhir sekali, sebentar lagi saya akan menyaksikan pertukaran
dokumen perjanjian antara PR1MA dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang
membolehkan PR1MA membina sejumlah 786 unit kediaman di sebidang tanah
milik TNB di Kajang. Daripada jumlah tersebut, 50% diperuntukkan untuk
kakitangan TNB, dan bakinya dibuka untuk rakyat yang berkelayakan.
15. Kerjasama seperti ini, adalah satu usaha yang murni di antara
pihak awam dan swasta dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada
kumpulan pekerja syarikat serta rakyat Malaysia amnya.
Sekian, terima kasih.
YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment