Wednesday, April 13, 2016

Sudi-Sudikanlah Ramasamy Hadir Ke Forum Dr Zakir Naik…

EDITOR MENULIS...
13 APRIL 2016
dr-zakir-naik
Hendak dikatakan dungu, beliau berpendidikan tinggi dan bergelar seorang “profesor”. Hendak dikatakan kurang berpengetahuan tentang Perlembagaan Persekutuan, beliau seorang ahli politik dan berjawatan Timbalan Ketua Menteri.

Namun mungkin sudah dasarnya pemimpin DAP, maka mereka memang terkenal sejak azalinya kurang rasa hormat pada konsep yang diterapkan pada kontrak sosial dan unsur-unsur tradisi bangsa Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan. Padahal, prinsip Jus Soli mereka kekal, langsung tidak dinafi malah ditambah baik lagi nilainya…

Saya benar-benar tidak mengerti apa yang dibencikan sangat Profesor P Ramasamy terhadap Dr Zakir Naik. Bencinya pada pendakwah Islam itu hingga tergamak menggelarnya sebagai ‘syaitan’.

Padahal, pakar perbandingan agama itu langsung tidak pernah memaki hamun Ramasamy. Beliau tidak pernah menggelar Ramasamy dengan gelaran yang kurang enak, malah mungkin Dr Zakir sendiri tidak pernah mengenali siapa Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Mungkin Ramasamy sudah memadam gelaran ‘syaitan’ itu pada kenyataan beliau, namun bagai kata pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata maka buruklah padahnya. Dan kini, seluruh dunia tahu ‘warna sebenar’ pemimpin DAP yang bernama P Ramasamy.

Mungkin sudah resmi seorang pendakwah yang berjiwa besar dan menerapkan akhlak mulia dalam dirinya, Dr Zakir Naik langsung tidak membalas hinaan Ramasamy itu. Padahal, boleh saja beliau tulis di laman sosial, menulis di blog atau menghentam pemimpin DAP itu menerusi saluran media. Namun itu bukan cara Dr Zakir Naik…

Sekiranya Ramasamy merujuk pada Perlembagaan Persekutuan yang termaktub sejak merdeka dulu dan faham apa isi kandungan yang memungkinkan perlembagaan itu berjaya dibentuk, saya yakin beliau tidak akan sentuh sebarang perkara yang melibatkan kepentingan Islam di Malaysia.

Seperti yang kita tahu, Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan Islam itu pada kedudukan yang istimewa dan tidak boleh dipertikaikan lagi kedudukan di Semenanjung Tanah Melayu ini.

Malah, untuk menjaga kepentingan Islam, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Agama Islam dan baginda bertanggungjawab menjaga segala hal ehwal yang melibatkan kepentingan agama rasmi negara itu.
ramasamy
Jadi, beranikah Ramasamy mencabar hak umat Islam yang mahu menimba ilmu agama dari ilmuan terkenal Islam itu? Bagaimana jika Yang DiPertuan Agong sendiri perkenan untuk mendengar ceramah Dr Zakir? Apakah Ramasamy cuba mengatakan Baginda mendengar ceramah dari ‘syaitan’? Berani berlaku biadap pada Yang DiPertuan Agong?

Saya ingin menyarankan kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu supaya berhati-hati dengan kenyataan berbaur provokasi melampau sebegitu. Melukakan hati dan kreadibiliti ulama agama kami, ia juga bermaksud melukai hati kami, saudara seagama yang dahagakan ilmu darinya.

Tidakkah Ramasamy mendengar pesanan dari Ketua Polis Negara supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan provokasi yang mampu mencetus ketegangan antara agama di Malaysia? Selaku seorang pemimpin yang punya pengaruh, cubalah kawal diri dari melakukan provokasi sebegitu.

Saya faham. Mungkin Ramasamy punya pandangan yang agak kontradik dengan Dr Zakir Naik. Namun sekiranya berani berhujah dan merasakan pandangan itu benar, silalah hadir ke forum Dr Zakir dan berdepan sendiri dengan beliau.

Sekiranya berdepan dengan Dr Zakir, janganlah terlalu emosi untuk mencari siapa yang menang dan siapa yang kalah. Hormatilah Islam sebagaimana kami menghormati agama-agama lain yang bebas diamalkan di negara ini. Kita hidup harmoni walau berbeza agama selama ini, jadi mengapa perlu dikeruhkan keharmonian itu?

Berhujahlah secara ilmiah. Saya sendiri teruja jika seorang Profesor berhujah dengan seorang Doktor secara sihat dan aman. Bukan kemenangan yang dicari, namun memadailah kita dapat hidup aman damai dan tenteram seperti mana Madinah Al-Munawwarah yang dulu ditadbir oleh Rasul junjungan kami, Muhammad SAW.

Saya difahamkan oleh media bahawa pihak penganjur di Melaka mengalu-alukan kehadiran Ramasamy ke majlis forum Dr Zakir di sana. Terserahlah pada keikhlasan Ramasamy untuk memenuhi pelawaan tersebut. Jemputan itu bukan suatu paksaan.

Bagaimana? Sedia dan sanggup untuk berdepan Dr Zakir Naik?

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment