Wednesday, March 16, 2016
Blok Politik Baru PAS Wujud Sebab DAP - Nik Abduh
KUALA LUMPUR : PAS menyelar pandangan sesetengah pihak yang menyifatkan
penubuhan pakatan baru oleh parti Islam itu bakal memecah-belahkan
sokongan rakyat kepada pembangkang.
Ketua Pemudanya Nik Abduh Nik Abd Aziz mengingatkan kembali bagaimana
tindakan DAP yang menjadi punca PAS terkeluar daripada Pakatan Rakyat
(PR).
"Apabila kami mahu tubuhkan blok ketiga, orang kata ni memecah-belahkan
pembangkang. Masa DAP memecah-belahkan PAS sehingga keluar PR dulu tak
ada pula kata macam tu," katanya ketika ditemui di luar lobi Parlimen.
Terdahulu Parti Amanah Negara (PAN) menyifatkan tindakan itu adalah satu
percubaan untuk memecahbelahkan kerjasama antara parti-parti
pembangkang di tanah air.
Malah gerakan seperti itu tidak akan mendapat sokongan rakyat,
sebaliknya hanya akan memecahkan undi dan menjamin Barisan Nasional (BN)
terus berkuasa.
DAP juga tidak yakin pakatan baru PAS itu akan berjaya jika parti Islam itu tidak bersifat inklusif.
Walaupun PAS mempunyai sokongan yang ramai namun ia tidak bermakna jika gagal melaksanakan agenda perubahan dengan baik.
Sementara itu mengulas perkembangan terbaru mengenai pembentangan rang
undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen bagi memberi laluan kepada
pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan, Nik Abduh berkata
jawatankuasa yang dilantik kerajaan masih membincangkan mengenai perkara
tersebut.
"Datuk Seri Jamil Khir dah buat kenyataan bahawa kerajaan konsisten
untuk buat pindaan 355, sekarang kita serahkan kepada jawatan kuasa yang
dibentuk masih lagi bermesyuarat sehingga kini.
"Saya dimaklumkan bahawa keputusannya masih positif, kita masih lagi
konsisten dan akan bawa ruang yang ada dan kerajaan pun sama.
"Kita tunggu bila akan dibentangkan," katanya lagi.
Mac tahun lepas, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang
undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya
terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan
kelak di negeri ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment