Wednesday, March 16, 2016

Blok Politik Ketiga : PAS Sanggah Kritikan DAP

SHAH ALAM : Kritikan demi kritikan yang dilontar kepada PAS menjadikan ia sebagai sebuah parti yang matang, demikian menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehin Mukhyi.

Beliau berkata demikian membidas dakwaan DAP bahawa Blok Politik Ketiga yang akan dibentuknya sebagai tidak berjaya sekiranya PAS tidak bersifat inklusif.

"Jika DAP mengkritik di belakang, bermakna PAS berada di hadapan. Apabila DAP merendahkan usaha PAS bererti PAS berada di kedudukan yang tinggi.

"PAS membesar dengan kritikan daripada parti-parti lain. Kita terbuka dan mereka ada hak untuk berbuat demikian. Tetapi sepatutnya parti itu kena prihatin dengan parti mereka sendiri.

"PAS ada strategi tersendiri, kita akan memberi kefahaman kepada masyarakat apakah keperluan masa depan parti di dalam negara, apatah lagi PAS tidak boleh diukur sebagai parti politik sahaja," katanya kepada Antarapos, hari ini.

DAP kerap menyerang PAS ketika kedua-dua parti itu masih menjadi rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR), dan 'memperhebat' kritikan terhadap parti Islam itu selepas kerjasama di dalam PR berakhir pada Julai tahun lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam menempelak usaha PAS untuk bergabung dengan parti-parti politik yang lain menerusi blok pembangkang yang baru dengan menyifatkan ia tidak akan bermakna sekiranya parti Islam itu gagal melaksanakan agenda perubahan dengan baik dan menyeluruh.

Mempertahankan pendekatan partinya itu, Sallehin menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan ianya tindakan terdesak PAS ekoran semakin lemah untuk bergerak secara bersendirian.

"PAS bukan bergabung kerana kita lemah atau hilang strategi. Tidak. (Sebaliknya) kalau ada orang datang sebab nampak kita konsisten pertahankan prinsip perjuangan dan dihormati malah mereka bersedia bersama kita, maka kita tidak mengenepikan bantuan dan pertolongan pihak itu," tegasnya.

Sallehin yang juga bekas exco kerajaan Selangor menegaskan Blok Politik Ketiga itu diasaskan selepas beberapa pihak tertentu sendiri tampil untuk bergabung dengan PAS, sekaligus menerima matlamat politiknya.

"Apabila mereka datang dan sedia menerima dasar PAS perjuangkan, maka saya percaya PAS tidak boleh tolak kehadiran mereka.

"PAS sendiri dilihat sebagai parti yang besar, apatah lagi mempunyai lebih sejuta ahli dan ada kekuatan tersendiri.

"Tidak pelik di dalam keadaan yang kita sendiri sudah punyai kekuatan itu, dan ada pihak lain datang untuk bersama kita demi menyemarakkan demokrasi," ujarnya lagi.

Blok Politik Ketiga, sebagaimana yang diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan akan dilancarkan esok.

Parti itu bagaimanapun masih merahsiakan identiti parti yang akan menjadi sekutunya dalam usaha memperkukuhkan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang hanya berbaki kurang dua tahun lagi. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment