Wednesday, March 16, 2016

Chuping, Perlis Catat 39 Darjah Celsius

imag2222e
Chuping, Perlis masih mencatatkan suhu tertinggi se­panjang tahun dengan bacaan 39 darjah Celsius, kesan daripada fenomena El Nino dan angin monsun timur laut yang dialami negara sejak Oktober tahun lepas.

Sebelum ini Alor Setar, Kedah mencatatkan 38.5 darjah Celsius tetapi kini turun kepada 36 darjah Celsius manakala Kuala Pilah, Negeri Sembilan juga mencatat bacaan sama setakat pukul 5 petang ini.

Jabatan Meteorologi turut meletakkan beberapa negeri dan kawasan di bawah kod kemarau melampau, antaranya seluruh Perlis, bahagian utara Kedah termasuk Pulau Langkawi dan beberapa kawasan di Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah sejak kelmarin.

Menurut jabatan itu dalam laman sesawangnya, fenomena El Nino dijangka menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20 peratus hingga 60 peratus dan kenaikan suhu sekitar 0.5 darjah Celsius hingga 2 darjah Celsius berbanding biasa.

El Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan laut di timur dan tengah Lautan Pasifik kawasan Khatulistiwa yang berlaku setiap dua hingga tujuh tahun.

Jabatan Metereologi turut meramalkan negara bakal dilanda jerebu semula apabila angin barat daya dari arah Sumatera kembali bertiup mulai Mei hingga September.

Pegawai Komunikasinya, Ambun Dindang berkata, bacaan tersebut bagaimanapun belum mengatasi suhu paling panas yang pernah direkodkan dalam sejarah negara iaitu 40 darjah Celcius, juga di Chuping pada 1998.

“Pada kebiasaannya suhu normal negara adalah antara 36 darjah Celsius atau 37 darjah Celsius, namun akibat musim panas dan kering yang kita alami sekarang, suhu telah meningkat pada tahap tertinggi sehingga 39 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ambun turut menyeru orang ramai supaya tidak me­lakukan aktiviti pembakaran terbuka dan banyak minum air bagi menge­lakkan dehidrasi.

Sebelum ini, Ketua Pengarah­nya, Datuk Che Gayah Ismail berkata, beberapa kawasan akan mengalami cuaca kering dan kekurangan hujan, walau bagaimanapun kekuatan fenome­na El Nino telah me­ngalami penurunan.

Selain itu, cuaca panas luar biasa berpanjangan sejak beberapa hari lalu menyebabkan penggunaan elektrik mencatatkan paras tertinggi di Semenanjung iaitu 17,175 megaWatt (mW) ketika waktu puncak.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment