Monday, March 21, 2016

Gabungan '3 M' - PAS Jadi Blok Pembangkang Ketiga?

EDITOR MENULIS...
21 MAC 2016
http://www.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/03/mahathir_muhyiddin_mukhriz_mohd-anuar_600.jpg
Ramai pemerhati dan penganalisis politik berwibawa mengatakan, Deklarasi Rakyat yang diumum Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini adalah lebih mirip kepada deklarasi peribadi bekas Perdana Menteri itu sendiri. 


Kata mereka, deklarasi itu adalah kerana prinsip Dr Mahathir yang 'menghalalkan cara' dalam memenuhi serakah politiknya. Tindakan meletakkan nama 'rakyat' pada deklarasi tersebut hanyalah retorik bekas Perdana Menteri untuk meraih sokongan dari masyarakat untuk menyokong agenda politik beliau.

Tidak kurang juga ramai yang berpandangan bahawa agenda utama Dr Mahathir itu adalah untuk anaknya, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir. Mereka mengatakan, kemungkinan agenda di sebalik deklarasi itu adalah untuk mempercepatkan proses Mukhriz menjadi Presiden UMNO.

Pendapat itu mengatakan Dr Mahathir berjaya menurunkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini tiba giliran beliau menjatuhkan Dato' Seri Najib Tun Razak. Tan Sri Muhyiddin dan Mukhriz sengaja kekalkan diri dalam UMNO untuk mencabar kem Najib pada pemilihan UMNO yang akan datang.

Muhyiddin dikatakan akan mencabar jawatan Presiden UMNO, supaya tidak kelihatan seperti Dr Mahathir terlalu gelojoh menaikkan kedudukan anaknya yang dijangka bertanding jawatan Timbalan Presiden. Sekiranya strategi Dr Mahathir menjadi, maka Muhyiddin akan menjadi Perdana Menteri dan Mukhriz pula menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Atas faktor umur dan banyak 'rahsia' Muhyiddin di dalam 'kocek' Dr Mahathir, beliau dijangka tidak akan bertahan lama di kerusi Presiden UMNO. Muhyiddin dijangka dengan mudah dipaksa turun dari jawatan Presiden selepas sepenggal menjawat jawatan itu.., dan Mukhriz akan mengambil alih jawatan berkenaan.

Dengan strategi tersebut, Mukhriz dijangka bakal menjadi Perdana Menteri dalam lingkungan usia 60'an dan mungkin mampu bertahan selama 3 hingga 4 penggal atau 15 tahun hingga 20 tahun, hampir menyamai rekod bapanya itu.

Dikatakan itulah percaturan kem Dr Mahathir yang 'dibaca' oleh ramai pemerhati dan penganalisis politik tanahair. Saya tidak dapat nafikan tentang kemungkinan bacaan tersebut. Mungkin benar, dan mungkin kurang tepat.

Namun begitu, masih belum ramai yang membaca gerakan tidak diduga bagi pihak UMNO sendiri. Sebelum ini, ada yang berpendapat bahawa Ahli Mesyuarat Tertinggi UMNO (MT) akan memecat Mukhriz selepas dia 'meroyan' setelah digugurkan dari jawatan Menteri Besar Kedah.

Tapi jangkaan itu meleset apabila MT memutuskan untuk hanya menggantung tugas Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden sahaja, dan tiada sebarang tindakan terhadap Mukhriz.

Namun selepas deklarasi Dr Mahathir itu, penulis melihat majoriti 147 UMNO Bahagian bangkit mendesak supaya pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas terhadap Muhyiddin dan Mukhriz. Mungkin tidak disebut apa bentuk tindakan tersebut, namun ramai yang faham maksud 'tindakan tegas' itu adalah 'pecat Muhyiddin dan Mukhriz'.

Sekiranya pucuk pimpinan UMNO tidak bertindak seperti yang digesa, maka UMNO mungkin dilihat 'tidak berani' untuk bertindak, bersifat kurang tegas dan mungkin mengurangkan rasa hormat dari kalangan akar umbi.

Malah mungkin ada yang kecewa dan enggan lagi memilih mereka sebagai MT atau pucuk pimpinan pada pemilihan parti yang akan datang, kerana menafikan kehendak majoriti pemimpin akar umbi. Lagipun, ramai yang berpandangan bahawa mereka yang khianat pada parti itu perlu 'diajar' sewajarnya sebagai pengajaran berguna bagi ahli lain.

Sekiranya Muhyiddin dan Mukhriz dipecat dari parti, maka secara automatik segala perancangan dan strategi beliau untuk anaknya itu akan musnah sama sekali. Tidak mungkin Muhyiddin dan Mukhriz dapat bertanding jawatan dalam UMNO jika mereka dipecat dari parti.

Mendepani masalah pemecatan itu, maka mungkin Dr Mahathir akan mengatur pelan B atau C. Pelan B, mungkin akan menyaksikan Muhyiddin dan Mukhriz mengikut jejak langkah Mat Sabu dengan menubuhkan parti baru. Mungkin parti bernama '3 M' sesuai untuk mereka?

Untuk pelan B dengan menubuhkan parti baru, mereka mungkin bekerjasama dengan PAS dengan membina blok parti pembangkang yang baru, yang disebut-sebut PAS baru-baru ini. Ia tidak mustahil berlaku kerana desas-desusnya, begitulah yang 'bertiup kencang'...

Pelan C pula mungkin menyaksikan mereka terus menyertai PAS dan mempergunakan platform parti itu untuk menyerang UMNO dan Najib. Dilihat terdesak atau tidak, cara ini pernah dipraktikkan Dr Mahathir ketika dipecat dari UMNO dulu.

Saya berpandangan bahawa Dr Mahathir memang terkenal dengan 'matlamat menghalalkan cara'. Jadi, menetapkan matlamat menjadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri sesegera mungkin, maka beliau tidak akan teragak-agak membinasakan UMNO dan BN. Ia tidak mustahil bagi beliau berdasarkan 'track record'nya.

Justeru itu, saya mencadangkan kepada UMNO supaya tidak menunggu lama dan pecat saja Muhyiddin dan Mukhriz dari parti. Kita lihat saja 'kehebatan' Dr Mahathir anak beranak mengkhianati parti. Selepas itu, tunggu sajalah 'pembalasan' seluruh pejuang UMNO terhadap 'dinasti Dr Mahathir anak beranak' itu...

Disediakan oleh :
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgL6gNw-FECpgBNYj5oxUzyMmBEYK_yeKaoZ4-9uM-1VsmA15QBR2_qDYB_fWpmzfrmVEuI41tdrmAlKrMtnrLLyvsnALut2F3R0GQ7jQvVRKwBMFQ8gzROAzgKEhHYMfVsvIn7OFFvUoY/s200/Acoy_Posterize.jpg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment