Thursday, March 10, 2016

Ikatan Setuju Sertai Pas Bentuk Blok Politik Ketiga

Pas Ikatan
KUALA LUMPUR : Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dikatakan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Pas bagi mewujudkan blok politik ketiga pembangkang.

Menurut salah seorang ahli jawatankuasa dewan tertinggi parti itu yang memberitahu media berkata, perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Presiden parti, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir ketika mesyuarat khas yang diadakan di The Mines, malam tadi.

“Tan Sri (Abdul Kadir) ketika mempengerusikan mesyuarat khas semalam memaklumkan Ikatan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Pas bagi membentuk satu gabungan yang berbeza dari Pakatan Harapan dan Umno.

“Menurut Tan Sri perkara itu telah lama dibincangkan iaitu sejak Pas keluar dari Pakatan Harapan dan ia akhirnya dipersetujui setelah Pas mengadakan mesyuarat biro politik parti itu di salah sebuah hotel di Janda Baik minggu lalu” kata sumber itu yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut.

Sumber yang meminta agar identitinya dirahsiakan itu turut memaklumkan satu sidang media akan diadakan di ibu pejabat Pas, Rabu ini bagi memaklumkan mengenai pembentukan gabungan tersebut.

“Tuan Guru Hadi akan memaklumkan mengenai kerjasama itu ketika sidang media di ibu pejabat Pas Rabu ini, dan selain Presiden Ikatan kami selaku ahli jawatankuasa dewan tertinggi turut diminta untuk hadir bersama.

“Ketika mesyuarat malam tadi, kami turut bangkitkan mengenai kenyataan awal Tan Sri yang menafikan akan menyertai PAS, namun kata Tan Sri ia dilakukan untuk mewujudkan ‘element of surprise’ dan memberi penghormatan kepada Tuan Guru untuk memaklumkan sendiri kepada media,” katanya lagi.

Terdahulu PAS mendedahkan parti Islam itu akan membentuk gabungan baharu dengan parti pembangkang selain Pakatan Harapan yang mempunyai objektif sama seperti yang termaktub dalam perlembangaan parti.

Ikatan dilancarkan pada Mei tahun lalu dengan logo Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada benderanya.Abdul Kadir berkata, parti pelbagai kaum itu tidak bersandar dengan kerajaan atau pembangkang tetapi mencerminkan ‘semangat’ pengasas negara.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment