Monday, March 21, 2016
JAKIM Rangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara - Najib
KUALA LUMPUR : Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
sedang merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi memperkasakan
institusi pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini, kata Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, beliau menyarankan madrasah-madrasah tahfiz di negara
ini supaya turut memberikan pandangan dan cadangan kepada pembangunan
DPTN dalam usaha memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus
subur di Malaysia.
"Saya sendiri akan memberikan perhatian secara peribadi kepada
pembentukan dan pelaksanaan DPTN," katanya ketika berucap pada Himpunan
20,000 Huffaz dan perasmian Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran
Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) di Masjid Wilayah di sini, Ahad malam.
Beliau berkata kerajaan mendukung pendidikan tahfiz di negara ini dengan
sebaiknya menerusi penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat sebagai
unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri sejak 1966.
Dengan penubuhan unit itu, katanya, bermulalah pengajian bidang
Tahfizal-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac 1966 dengan
lapan pelajar perantis yang dipilih dari negeri-negeri di Malaysia.
"Maahad Tahfiz adalah institusi tahfiz rasmi yang diletakkan di bawah
Jabatan Perdana Menteri. Ini menunjukkan betapa dekatnya pendidikan
tahfiz dengan pentadbiran kerajaan Malaysia," kata perdana menteri.
Pada 1997, Maahad Tahfiz itu dinaikkan taraf sebagai satu bahagian di JAKIM.
Najib berkata selain membangunkan DPTN, kerajaan juga amat komited dalam
memastikan semua pentadbiran negara menepati dengan segala kehendak
yang telah digariskan oleh Islam.
"Pendidikan al-Quran dan tahfiz al-Quran merupakan antara ramuan yang
terpenting dalam konteks memelihara agama. "(Ia) sekali gus menolak
tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap agama Islam yang suci
ini, sama ada fitnah dan ancaman oleh ekstremis radikal mahupun ancaman
pemikiran oleh kelompok pelampau liberalisme yang semakin galak
melebarkan fahaman mereka dalam kalangan masyarakat kita hari ini," kata
beliau.
Najib juga menyambut baik penubuhan persatuan madrasah dan maahad tahfiz
dinegeri-negeri, yang membolehkan suara dan pandangan warga institusi
tahfiz diperkasakan.
"Bagi saya, ini adalah inistiatif proaktif dan positif yang sangat
membantu usaha kita semua untuk memartabatkan dan meningkatkan lagi
bidang tahfizal-Quran di negara ini. Alhamdulillah!," kata beliau.
Mengenai penubuhan PINTA Kebangsaan, yang merupakan gabungan kepada
PINTA-PINTA Negeri, perdana menteri mencadangkan pimpinan PINTA
Kebangsan memberi tumpuan kepada isu-isu di peringkat nasional dan
antarabangsa serta sentiasa bersedia untuk aktif melebarkan skop
sumbangan kepada masyarakat, negara dan antarabangsa.
Sebagai mengiktiraf usaha para huffaz menubuhkan PINTA Negeri dan
Kebangsaan, Najib mengumumkan kerajaan menyumbangkan dana RM10,000
kepada setiap PINTA Negeri yang berada di bawah PINTA Kebangsaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment