
Thursday, March 10, 2016
Kejatuhan Nilai Ringgit Tidak Jejaskan Keyakinan Pelabur Asing – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR : Kejatuhan nilai ringgit tahun lepas tidak
menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di negara ini,
persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk
Ahmad Maslan berkata menurut statistik, imbangan pembayaran yang
dikeluarkan Jabatan Perangkaan, negara merekodkan jumlah aliran masuk
bersih pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM39.5 bilion pada tahun
lepas.
“Bagi tempoh tersebut, pecahan jumlah pengaliran masuk bersih
pelaburan langsung asing melibatkan sektor pembuatan ialah sebanyak
RM17.7 bilion, perkhidmatan (RM7.8 bilion), perlombongan (RM12.9
bilion), pembinaan (RM1.1 bilion) dan pertanian, perhutanan dan
perikanan (RM16 juta).
“Keyakinan pelabur asing turut terbukti apabila mereka meningkatkan
pegangan dalam pasaran kewangan negara meskipun ringgit menghadapi
tekanan dan ekonomi dunia dibelenggu kebimbangan berikutan kenaikan
kadar faedah di Amerika Syarikat dan kelembapan di China,” katanya pada
sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang
ingin penjelasan kerajaan sama ada kejatuhan nilai ringgit pada waktu
ini akan menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan untuk melabur di
Malaysia.
Ahmad yang merupakan Anggota Parlimen Pontian berkata pada akhir
2015, pegangan pemilik asing di dalam sekuriti hutang dan sukuk negara
adalah sebanyak RM214.8 bilion, dan ini merupakan peningkatan sebanyak
hampir RM17 bilion berbanding RM197.8 bilion pada akhir Ogos 2015.
“Data tersebut jelas menunjukkan bahawa meskipun persekitaran ekonomi
pada ketika ini agak mencabar, Malaysia terus kekal kukuh sebagai
sebuah destinasi pelaburan pilihan bagi pelabur asing,” katanya.
Menurut beliau, antara langkah yang sedang diambil kerajaan untuk
mengekalkan daya saing pelaburan, dengan mengeksploitasi nilai Ringgit
yang di bawah paras sebenar termasuklah mengambil pendekatan ekosistem
dalam menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia.
“Pengilang digalakkan menggunakan keluaran tempatan sebagai input
supaya mendapat pulangan yang lebih tinggi dengan kos pengeluaran dalam
mata wang Ringgit yang rendah. Pengilang tempatan juga akan mendapat
faedah apabila mereka mengeksport keluaran siap kerana harga yng
ditawarkan lebih kompetitif.
“Menggalakkan pelabur asing untuk meningkatkan pelaburan mereka di
Malaysia dalam projek pelaburan yang berkualiti seperti projek pelaburan
berteknologi tinggi, nilai ditambah yang tinggi, berintensif
pengetahuan, kemahiran intensif, berorientasi eksport, berintensif
modal, reka bentuk dan R&D, projek yang mempunyai impak tinggi dan
mempunyai hubungan yang kukuh dengan industri tempatan,” katanya.
Selain itu, kementerian juga menganjurkan misi pelaburan ke luar
Negara terutamanya yang dianjurkan oleh agensi di bawah MITI, iaitu
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mempromosi dan
menarik pelaburan baru.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment