
Thursday, March 10, 2016
Zahid Samakan Keselamatan Makanan Dengan Keselamatan Nasional

PUTRAJAYA : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi hari ini menyamakan keselamatan makanan dengan keselamatan
nasional.
“Kita sudah lihat banyak kes apabila sesebuah negara runtuh, makanan
sukar diperoleh kerana soal keselamatan nasional dikompromikan,” katanya
sambil menegas prasyarat untuk mengekalkan jaminan makanan adalah
keselamatan nasional.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Serantau
untuk Asia dan Pasifik Ke-33 Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di
sini.
Sambil menyatakan soal keselamatan nasional cukup dekat di hatinya
sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau berkata pengeluaran makanan adalah
sukar jika sesebuah negara dibelenggu peperangan.
Katanya berkata beliau komited memastikan keselamatan nasional serta kestabilan serantau diperkukuhkan dan dipertahankan.
“Hanya selepas itu, agenda keselamatan makanan menjadi realiti,” katanya.
Beliau juga berkata terdapat tiga pendekatan untuk memastikan keselamatan makanan dan kedaulatan makanan di rantau ini.
Pendekatan itu adalah merangsang pelaburan sektor swasta dalam
pertanian, menangani isu perubahan iklim dengan pertanian mapan dan
mengurangkan kemiskinan dengan memanfaatkan biodiversiti, katanya.
“Saya cukup yakin ketiga-tiga pendekatan ini mampu menyemarakkan
pembangunan rantau ini,” katanya sambil berharap adanya perbincangan
yang aktif mengenai perkara itu bagi kepentingan negara anggota.
Ahmad Zahid berkata Malaysia ialah satu daripada 72 negara di dunia
yang mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Milenium-1 (MDG-1) untuk
membasmi kemiskinan dan kelaparan.
Pada 2014, katanya Malaysia adalah antara 13 negara yang menerima
pengiktirafan FAO atas pencapaian cemerlang dalam menangani kelaparan,
mengatasi tarikh akhir MDG pada penghujung 2015.
“Namun kami tidak berhenti di situ,” katanya sambil menambah kerajaan
terus menangani isu kemiskinan menerusi Dasar Ekonomi Baru yang
dilaksanakan melalui Rancangan Pembangunan Ekonomi lima tahun.
Merujuk kepada fakta pembaziran satu pertiga daripada makanan di
seluruh dunia setiap tahun, Ahmad Zahid meminta anggota Pertubuhan
Bangsa Bersatu (PBB) menyokong inisiatif FAO menangani pembaziran itu
dengan membantu mengurangkan kesan karbon disebabkan pengeluaran makanan
yang berlebihan.
Pada akhir majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan kempen
MySaveFood, satu inisiatif global untuk mengurangkan pembaziran makanan.
Persidangan lima hari yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya sejak 7 Mac, dikendalikan Kementerian Pertanian dan Asas Tani
serta dihadiri delegasi daripada 46 negara Asia-Pasifik.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment