Thursday, March 10, 2016
Razif Buka Cerita... Usul Undi Tak Percaya Didalangi Gerakan Luar
Lihat gambar diatas... itu kedudukan terkini di DUN Terengganu selepas
dua hari usul undi tak percaya pada Menteri Besar (yang sudah ditolak)
hanya ada dua orang dari 32 ADUN Terengganu yang menyokong usul
tersebut, salah seorangnya pembawa usul Datuk Seri Ahmad Said dan
seorang lagi ADUN Bandar (PKR) Azan Ismail.
Selebihnya 16 dari BN dan 14 dari PAS tidak menyokong usul separuh masak
tersebut yang menimbulkan kekecohan dalam persidangan Dewan Undangan
Negeri Terengganu pada Selasa.
Ini selepas Ahmad Said yang merupakan ADUN Kijal mengemukakan cadangan
usul undi tidak percaya terhadapnya sebagai Menteri Besar Terengganu.
Mengulas secara terbuka isu tersebut buat kali pertama MB Terengganu
Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beliau telah diingatkan
supaya berhati-hati dan akan ada gerakan luar yang mahu menjatuhkan
dirinya.
"Saya mendapat maklumat tersebut dari Kuala Lumpur," kata Ahmad Razif
ketika berucap pada majlis perjumpaan khas Barisan Nasional (BN),
Veteran UMNO dan Mubarak Terengganu, malam Rabu.
Perjumpaan yang dihadiri kira-kira 300 pemimpin sayap Wanita, Pemuda dan
Puteri UMNO, MIC, MCA dan Gerakan negeri: Majlis Bekas Wakil Rakyat
(MUBARAK); Veteran UMNO dan badan bukan kerajaan itu bagi menyatakan
sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepemimpinan Ahmad Razif
menerajui Terengganu.
Ahmad Razif berkata, siasatan sedang dijalankan dan dalang di sebalik
keberanian Mat Said sehingga menimbulkan kekecohan dan ketegangan
politik di negeri ini bakal diketahui nanti.
Mat Said yang mengemukakan usul itu tidak hadir pada persidangan DUN Rabu dan dipercayai ke luar negara
Usul tersebut ditolak Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Zubir Embong dengan
alasan Ahmad melanggar peraturan DUN berikutan tidak mengemukakan notis
14 hari.
Ahmad Razif berkata agendanya kini adalah untuk memastikan BN Terengganu
terus kuat dan mencipta sebanyak mungkin kejayaan agar BN mencatat
kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.
"Apa berlaku kepada saya sekarang tidak penting, jika ditakdirkan saya
terpaksa berkorban, saya rela demi memastikan UMNO dan BN terus kekal
berkuasa pada PRU-14 nanti," katanya.
Ahmad Razif menyifatkan tindakan Ahmad itu sebagai satu hikmah kerana
beliau kini dapat mengetahui siapa musuh daripada dalam yang cuba
menjatuhkan BN di Terengganu.
"Malah, saya juga mahu tiga mantan menteri besar sebelum ini bersama
saya bagi memastikan kemenangan besar Terengganu dalam PRU-14 nanti,"
katanya.
Ahmad Razif turut menyatakan bahawa beliau merasa pelik apabila
dikatakan membuat konspirasi untuk menafikan sumbangan Ahmad sewaktu
beliau menjadi MB.
Katanya, sekiranya terdapat kebaikan yang disebut oleh pihak lain ketika
beliau menjadi menteri besar, ia sebenarnya adalah kebaikan yang
dimulakan oleh Barisan Naisonal (BN) terdahulu.
"Misalnya, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) telah siap ketika saya
menjadi MB namun kerja-kerja awal telahpun bermula ketika zaman Wan
Mokhtar lagi.
Begitu juga stadium, ITC Kemaman, Sekolah Menengah IMTIAZ dan pelbagai projek yang sebelum ini terbengkalai atau dibiarkan lesu.
"Saya sambung dan selesaikan. Saya tidak menafikan sumbangan sesiapa,
malah saya selesaikan apa yang tidak selesai dan tambah nilai apa yang
belum selesai.
"Saya sentiasa katakan bahawa kita harus sentiasa memandang ke hadapan.
Kita jangan lupa, apabila kita tinggalkan sesuatu jawatan, kita mungkin
tinggalkan bukan sahaja legasi baik tetapi mungkin ada legasi tidak
baik," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji tindakan seorang lagi bekas MB
Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang hadir secara konsisten dalam
sidang DUN walaupun telah menyerah tugas, namun ia berbeza dengan
keadaan Ahmad, yang mana beliau kerap tidak hadir.
Pada Rabu, Presiden PAS yang juga ADUN Rhu Rendang Datuk Seri Abdul Hadi
Awang menegaskan bahawa 14 ADUN parti itu tidak akan mengundi usul
tersebut kerana ia melibatkan masalah dalaman UMNO.
Hanya seorang ADUN PKR Azan Ismail yang setuju dengan usul Mat Said itu,
lain-lain ADUN BN sudah menandatangani surat akuan menyokong Ahmad
Razif.
Sementara itu, Biro Penerangan Persatuan Siswazah Terengganu (PERSIST)
dalam satu kenyataan, berharap semua pihak perlu berlapang dada, memberi
ruang dan peluang serta bersama-sama Ahmad Razif membangunkan
Terengganu.
"Pemimpin yang baik memimpin masyarakat ke arah penyatuan, dan bukanlah
perpecahan. Mari kita semua, bawa negeri kita agar mampu menjadi negeri
terhebat, terbaik dan natijah untuk ini adalah rakyat yang mendapat
impak positifnya," menurut kenyataan itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment