
Thursday, March 10, 2016
Laporan Tidak Benar Media Luar Timbulkan ‘Keganasan Persepsi’ – MP Bagan Serai

KUALA LUMPUR : Seorang anggota Parlimen hari ini
berkata laporan tidak benar media luar seperti Wall Street Journal (WSJ)
mengenai ekonomi Malaysia mengundang ‘keganasan persepsi’ dalam kalangan rakyat.
Dr Nor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) bahkan menyifatkan WSJ sebagai
media yang hanya mengutamakan laporan sensasi berbanding melaporkan
fakta sebenar sehingga menyebabkan ada rakyat yang percaya.
“Yang kata ekonomi kita kucar-kacir, Malaysia nak bankrap, ekonomi buruk, siapa yang kata?
“Sedangkan fakta bukan begitu, agensi penarafan antarabangsa
seperti Moody’s, Standard & Poor’s dan Fitch, terus meyakini asas
ekonomi dan kedudukan kewangan kita, bagi penarafan yang baik.
“Tetapi kita mahu percaya yang mana? Fakta daripada yang pakar atau
laporan yang tidak benar?,” hujahnya ketika membahaskan titah Yang
di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Dr Nor Azmi turut mengumpamakan WSJ seperti ‘ratu cantik’ kerana
laporan yang didedahkan kononnya sempurna dan benar, tetapi adalah
sebaliknya selain tidak mempunyai bukti kukuh.
“Luar nampak cantik, tapi bila selak-selak ada kurap, panau, kalau panau tidak apa lagi, kalau kayap boleh bawa mati,” katanya.
Kenyataan itu mendapat perhatian anggota Parlimen pembangkang Rafizi
Ramli (PKR-Pandan) yang mencelah dan menyatakan ekonomi Malaysia memang
berada dalam keadaan tidak stabil sehingga terdapat banyak rungutan
daripada rakyat mengenai kos hidup yang meningkat.
Cubaan Rafizi untuk menuding jari kepada kerajaan itu dibidas Dr Nor
Azmi yang menyatakan sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, Malaysia
terdedah kepada faktor luaran, disebabkan itu pendapatan negara agak
terjejas dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia secara mendadak.
“Kerajaan usaha lakukan macam-macam untuk bantu rakyat. Sebab itu ada
ubah suai Bajet 2016, laksanakan GST (cukai barang dan perkhidmatan) …
160 negara amal GST, belum ada satu negara pun yang amalkan GST ini
bankrap,” katanya.
Beliau sebaliknya menegaskan pembangkang yang gemar bermain dengan
persepsi dengan mendakwa GST dilaksanakan untuk membayar hutang akibat
kerugian syarikat milik kerajaan dan membebankan rakyat.
“Sebab itu bila kita baca, kita dengar, kita kena tapis, bukan
terima bulat-bulat. Jika tidak kita akan terpengaruh dengan persepsi
buruk mengenai ekonomi negara kita,” katanya.
Persidangan Dewan bersambung Isnin.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment