Monday, March 21, 2016
Majlis Peguam Diselar Buat Tindakan Pra Matang, Mencabul ‘Rule Of Law’
KUALA LUMPUR : Pra-matang dan terburu-buru, selar seorang
pengamal undang-undang Kamarudin Ahmad kepada Majlis Peguam yang
bersikap tidak adil terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali
supaya meletakkan jawatan.
Kamarudin mempersoalkan tidakan Majlis Peguam yang membuat usul
tersebut sedangkan Mahkamah Tinggi belum lagi membuat sebarang kehakiman
ke atas permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh mereka.
“Usul yang dibuat Majlis Peguam satu tindakan pra-matang kerana
mereka telah fail permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk semakan
keputusan Peguam Negara menutup kes siasatan 1Malaysia Development
Berhad (1MDB), tidak puas hati hendakkan siasatan itu diteruskan dan
hendak Perdana Menteri didakwa.
“Jadi,
dia minta kerjasama Mahkamah Tinggi untuk semak keputusan Peguam
Negara. Nampaknya Majlis Peguam menganggap Peguam Negara telah membuat
keputusan yang salah dalam menutup siasatan ke atas Perdana Menteri.
“Jelas anggapan Majlis Peguam tersebut berdasarkan kepada laporan
Sarawak Report ataupun laporan dari sumber-sumber lain yang belum
disahihkan kebenarannya,” katanya kepada media.
Kamarudin juga menyelar tindakan Majlis Peguam yang kononnya dalam
usaha hendak menegakkan ‘rule of law’ tetapi mereka sendiri yang
bertindak membuat sesuatu yang mencabul ‘rule of law’, iaitu dengan cara
menghukum Peguam Negara hanya bersumberkan maklumat yang tidak dapat
dikesan kesahihannya.
“Majlis Peguam tidak terlibat dalam siasatan kes 1MDB maka, bagaimana
Majlis Peguam boleh tahu siasatan itu berjalan dengan baik atau tidak.
“Kerana itulah saya berpendapat usul tergempar yang dibuat oleh
Majlis Peguam yang dibuat pada Sabtu lalu terburu-buru dan tidak adil
kepada Peguam Negara,” tegasnya lagi.
Justeru itu, mengikut pandangannya juga, mahkamah tidak boleh
menyemak keputusan Peguam Negara kerana ia dibuat mengikut budi bicara
Peguam Negara sebagaimana yang termaktub di bawah artikel 145 (3)
Perlembagaan Persekutuan.
“Majlis Peguam mencabar kuasa Peguam Negara yang terkandung di bawah
artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan. Jelas sekali usul yang dbuat
pada mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam Sabtu lalu merupakan satu
usul yang mencabar Perlembagaan Persekutuan.
“Majlis Peguam telah mengheret Peguam Negara ke mahkamah, seharusnya
Majlis Peguam tunggulah mahkamah, janganlah ‘jump the gun’ dengan
membuat usul mendesak Peguam Negara letak jawatan seolah-olah Peguam
Negara sudah didapati bersalah.
Perlembagaan Persekutuan di dalam Bahagian 10 –
Perkhidmatan-perkhidmatan Awam, Perkara 145 menyentuh mengenai
tanggungjawab Peguam Negara dan kuasa-kuasa yang terdapat padanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment