Monday, March 21, 2016
Malaysia Antara Tiga Negara Paling Disukai Ekspatriat
Satu kaji selidik mendapati Malaysia merupakan
antara tiga negara yang paling dirasai selesa oleh ekspatriat, walaupun
belum sampai setahun tempoh perpindahan mereka.
Menurut kaji selidik HSBC Expat Explorer 2015, Malaysia menduduki
tempat ketiga dengan kadar keselesaan 61 peratus, manakala Bahrain
menduduki tempat teratas dengan 66 peratus dan India di tempat kedua
dengan 63 peratus.
Kaji selidik yang tersiar dalam laman sesawangnya semalam juga
menunjukkan bahawa walaupun majoriti ekspatriat di Malaysia berpendapat
ikatan persahabatan merupakan perkara penting yang menyebabkan mereka
berasa selesa, sesetengahnya pula berkata mereka berasa selesa kerana
keluarga masing-masing gembira dengan kehidupan di negara baharu.
Beberapa ekspatriat berkata kebolehan menggunakan bahasa tempatan
adalah perkara penting untuk menikmati keselesaan apabila tinggal di
Malaysia, manakala yang lain pula berpendapat bahawa memahami budaya
tempatan membantu mereka untuk berasa lebih rapat dengan negara ini.
Ekspatriat yang ingin cepat menikmati keselesaan juga boleh menimbang
untuk berpindah ke Mexico, kerana kaji selidik itu mendapati 42 peratus
daripada responden berkata mereka terus berasa seperti berada di negara
sendiri atau dalam tempoh kurang enam bulan apabila tinggal di negara
itu, terkebelakang sedikit daripada Bahrain (47 peratus) dan Malaysia
(43 peratus).
Menurut hasil kaji selidik itu, ekspatriat melalui pengalaman berbeza sebelum berasa diri mereka sebagai orang tempatan.
Mereka berkata menjalin persahabatan atau menjalani kehidupan
bermasyarakat dan memahamai budaya serta etika tempatan merupakan
perkara penting untuk merapatkan diri seseorang ekspatriat dengan negara
tuan rumah.
Kaji selidik yang diadakan bagi tahun kesembilan itu merupakan satu
daripada kaji selidik global bebas terbesar mengenai ekspatriat. Ia
diadakan HSBC Expat dengan dikendalikan firma penyelidikan, YouGov.
Hampir 22,000 ekspatriat yang tinggal di lebih 100 negara terlibat
dengan kaji selidik itu, yang diadakan antara Mac dan Mei 2015.
Responden berkongsi pandangan mereka tentang pelbagai aspek kehidupan
di luar negara termasuk kerjaya, keselesaan dari segi kewangan, kualiti
kehidupan dan kemudahan untuk menikmati keselesaan bersama pasangan
serta anak-anak masing-masing.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment