
Thursday, March 10, 2016
Mubarak Selangor Sedia Jadi Orang Tengah, Selesai Konflik Politik Negara

SHAH ALAM : Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia
(Mubarak) Selangor bersedia menjadi ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan
pertikaian pendapat antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Yang Dipertua Mubarak Selangor, Tan Sri Dr Abu Hassan Omar berkata
langkah berkenaan diambil demi kepentingan semua pihak, malah
menyifatkan perbezaan pendapat yang berlarutan sama ada melibatkan
kepentingan peribadi atau sebaliknya harus diselesaikan secara rundingan
dan pertemuan.
Beliau berkata idea untuk menjadi ‘orang tengah’ itu adalah
hasil perbincangan dalam satu perjumpaan khas yang diadakan bersama 12
badan bukan kerajaan (NGO) Selangor hari ini mengenai kemelut terkini yang melanda politik negara.
Katanya, tindakan Dr Mahathir, beberapa pemimpin serta bekas pemimpin
UMNO yang bersekongkol dengan pembangkang adalah amat mendukacitakan
dan dilihat tidak menghormati prinsip perjuangan parti.
“Kami membuat tawaran menjadi orang tengah ini kerana melihat ia
langkah yang terbaik supaya pertikaian antara kedua-dua belah pihak
dapat diselesaikan segera demi kesejahteraan semua pihak.
“Kami juga amat kesal dengan tindakan Dr Mahathir (bersekongkol
dengan pembangkang) sedangkan mereka pernah menyerang negarawan itu
dengan pelbagai tuduhan, tohmahan dan fitnah sebelum ini,” kata Abu
Hassan, bekas menteri kabinet dan menteri besar Selangor, di sini hari
ini.
Jelas beliau lagi, tindakan Dr Mahathir menandatangani ‘Deklarasi
Mahathir’ adalah bertentangan dengan kedudukan terhormatnya sebagai
bekas perdana menteri dan negarawan ulung yang menggagaskan Wawasan 2020
demi kemajuan negara.
Abu Hassan berkata, Mubarak Selangor dan Majlis Pemuafakatan NGO
Selangor (PNS) menyatakan pendirian tegas untuk terus menyokong
sepenuhnya kepimpinan Najib dan kekal menjadi Perdana Menteri.
Jumaat lepas, Dr Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang
memeterai deklarasi itu menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana
menteri.
Termasuk dalam kumpulan itu bekas timbalan perdana menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun
Mahathir, bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, Menteri Besar
Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan veteran DAP Lim Kit Siang.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment