Wednesday, March 16, 2016
Pakatan Harapan, Dr Mahathir Berkongsi Pentas Pada 28 Mac 2016
SHAH ALAM : Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini
tidak pernah bersetuju dengan tindakan pembangkang mengadakan
perhimpunan awam tetapi pada 28 Mac ini buat pertama kalinya mereka akan
berkongsi pentas.
Ini berikutan Dr Mahathir mengesahkan kehadirannya di perhimpunan
“Selamatkan Malaysia” di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di
Pandan Indah, lapor portal Malaysiakini yang memetik kenyataan akhbar
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.
Bagi memastikan kehadiran semua pemimpin Pakatan Harapan, Dr Mahathir,
bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lain-lain
tokoh penting, tarikh perhimpunan telah ditetapkan pada Isnin, 28 Mac
2016, jam 8 malam, tambahnya.
Rafizi adalah penyelaras sekretariat “Selamatkan Malaysia” bagi pihak
pembangkang manakala bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk
Seri Khairuddin Abu Hassan yang bertindak bagi pihak Dr Mahathir.
Katanya, perhimpunan itu akan menyaksikan penyampaian ceramah, deklamasi puisi dan lain-lain persembahan.
Perhimpunan ini diadakan sehari selepas perjumpaan tertutup 27 Mac yang dianjur oleh bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.
Ia juga rentetan kepada majlis tanda tangan “Deklarasi Rakyat” yang ditaja oleh Dr Mahathir pada 4 Mac lalu.
Majlis itu juga menyaksikan perhimpunan janggal Dr Mahathir dan
sekutunya bekerjasama dengan pihak pembangkang serta aktivis yang
berdekad-dekad sebelum ini berlainan pendapat.
“Deklarasi Rakyat” yang mereka tanda tangani itu bermatlamat untuk
menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga mewujudkan
reformasi dalam pentadbiran negara.
Dr Mahathir yang sebelum ini tidak pernah bersetuju dengan perhimpunan
awam ditaja oleh pembangkang dan pernah menyekatnya ketika beliau
menjadi perdana menteri.
Pada Ogos tahun lalu, beliau muncul dua kali tetapi tidak berucap di perhimpunan Bersih 4 yang mahu Najib berundur.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment