Friday, March 18, 2016
PAS Disaran Tamatkan Kerjasama Dengan PKR Di Selangor
KUALA LUMPUR : Beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang di Selangor
menasihatkan supaya PAS memutuskan kerjasama dengan PKR di negeri itu
selepas mengumumkan pembentukan blok baru pembangkang bersama Parti
Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid melihat kerjasama antara PKR dan PAS di Selangor sudah tidak relevan lagi.
"Setelah apa yang berlaku ini, saya kira ada prejudis di situ yang memerlukan ia berfikir semula.
"Tepuk dada, tanya diri sendiri bermaksud ia dilihat dari segi sudut
mana. Kalau bermaksud dia hendak bertanding di semua kawasan, saya tidak
nampak di mana logiknya ikatan ini perlu diwujudkan," katanya kepada
pemberita tadi di lobi Parlimen.
Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang
menegaskan gabungan itu akan menjadi blok politik ketiga selepas
Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-14 yang tempoh berbaki dua tahun lagi.
Abdul Hadi dalam pada itu turut bertegas blok baru pembangkang ini membawa agenda politik yang berbeza dengan PH.
Susulan penegasan Abdul Hadi yang dilihat penuh tersirat itu, Abdullah
yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Langat meminta supaya PAS tidak
lagi berdolak-dalik.
"Jadi kalau hendak isytiharkan, dia perlu terang-teranglah, rakyat pun
letih hendak melihat. Kita hendak buat kerja, kita bukan hendak
politikus dalam parti masing-masing. Rakyat hendak melihat parti-parti
politik ini boleh menjamin masa depan mereka," katanya.
Jelasnya, kehadiran blok baru pembangkang itu juga tidak mempunyai hala
tuju yang jelas ekoran seringkali tidak mengambilkira pendapat parti
pembangkang lain.
"Saya tidak nampak ia satu solusi atau penyelesaian untuk menggantikan
yang lebih baik kerana ia adalah lebih malang kalau blok-blok itu
menganggap sebagai blok pembangkang tetapi tidak mewarnai pembangkang
sebenar untuk membentuk pakatan yang lebih diterima oleh rakyat,"
katanya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim turut mengutarakan
pendapat yang sama, ini adalah masa terbaik untuk berbuat demikian jika
mahu mempertahankan maruahnya.
"Dalam sesuatu prinsip satu koalisi atau pun dalam kumpulan politik,
sudah tentunya PAS harus keluar daripada kerajaan negeri kerana mereka
mewujudkan pakatan ketiga kerana tidak sehaluan dengan apa yang
diperjuangkan oleh DAP.
"Sebagai sebuah parti dan pakatan yang bermaruah dan berintegriti sudah
tentunya mereka harus keluar daripada kerajaan negeri Selangor.
"Dan tidak salah bagi mereka untuk bergabung dengan mana-mana Pakatan
terutamanya Umno-BN untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang baru
mungkin di bawah pimpinan PAS sendiri," katanya.
Tambahnya lagi, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
turut perlu segera membuat keputusan sama ada mahu menolak PAS atau
terus bersama dengan parti itu.
"Saya melihat Azmin sebagai seorang pemimpin parti dalam PH, beliau sepatutnya mengeluarkan PAS kerana ini soal prinsip.
"Kalau dia mempunyai prinsip yang harus dihormati dalam PH yang telah
ditandatangani oleh mereka, dia harus keluarkan PAS daripada
kerajaannya.
"Dan ini akan membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan ini adalah
kerajaan PH, bukannya Pakatan yang satu lagi ada Pakatan ketiga dan PH,"
katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik pula menyifatkan PAS
seperti hilang arah dan sanggup bekerjasama dengan parti yang tidak tahu
sejauh mana kekuatannya.
"Kita kesian dengan PAS, PAS makin memencilkan diri untuk sanggup
bekerjasama dengan satu parti yang kita tidak pernah dengar selama ini.
"Adakah PAS sudah mengakui bahawa dia sudah tidak lagi terpengaruh untuk
menarik lebih ramai orang untuk bekerjasama dengan dia?," soalnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment