Monday, March 21, 2016
Penjawat Awam Tidak Boleh ‘Simpan Isteri Warga Thai’
Penjawat-penjawat awam di negara ini terutama sekali para guru,
dinasihatkan supaya tidak ‘menyimpan isteri warga Thailand’. Sebaliknya
bagi mana-mana penjawat awam yang memiliki isteri warga Thailand atau
isteri yang menetap di luar dari Malaysia, mereka haruslah memaklumkan
perkara tersebut kepada Kementerian Pendidikan.
Hal ini sebagai satu maklumat mengenai aktiviti sesetengah individu yang
sentiasa berulang-alik ke negara luar. Perkara ini juga sebagai satu
rujukan sekiranya sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata para guru paling
ramai dikesan kerap berulang-alik merentasi sempadan negara. Malah
mereka juga percaya bahawa ada diantara mereka yang tidak mendapatkan
kebenaran yang sah untuk melakukan sedemikian rupa.
Walaupun ada diantara mereka yang tinggal di sempadan negara seperti di
Golok, mereka-mereka ini masih lagi terikat dengan undang-undang negara
yang menuntut kebenaran terlebih dahulu sebelum menyeberangi atau
memasuki negara lain.
Tambahnya, ia bagi memudahkan proses kelulusan ke luar negara seperti
yang diwajibkan kepada setiap penjawat awam untuk mendapatkan kebenaran
daripada jabatan masing-masing.
“Isytihar sahaja kalau ada isteri di Golok atau di mana-mana bahagian
lain di luar negara. Ia menjadi satu kesalahan sekiranya pergi tanpa
pengetahuan, dikhuatiri berlaku apa-apa yang tidak diingini,” katanya.
Mahdzir menegaskan perkara demikian sebagai mengulas mengenai kejadian
seorang guru yang ditemui mati lemas di Sungai Golok sempadan
Malaysia-Thailand pada 28 Februari lalu. Azami Mohamed, 38, dari Kampung
Pasir Kelang Baru, Kuala Krai, Kelantan itu didapati tidak membuat
permohonan untuk ke luar negara sebelum ini.
Oleh yang demikian, Mahdzir turut memberi amaran kepada guru dan
penjawat awam supaya tidak melanggar arahan berkenaan. Sekiranya mereka
masih berdegil maka mereka akan berdepan dengan tindakan tegas. Tindakan
tegas berkenaan termasuklah tidak akan mendapat manfaat sebagai
penjawat awam termasuk wang pencen.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment