Monday, March 21, 2016
Penyelewengan Dana Pegawai KBS : YB Menteri Lakukan Tindakan Tepat – Akmal Saufi
JOHOR BAHRU : Pendedahan yang dilakukan oleh YB Khairy
Jamaluddin berkaitan penyelewengan seorang pegawai kerajaan di
Kementerian Belia dan Sukan harus dipandang serius di mana penyelewengan
tersebut mungkin mencecah RM100 juta dalam tempoh beberapa tahun, ujar
Akmal Saufi Mohamed Khaled, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan,
Undang-undang dan Integriti, Parlimen Belia Malaysia.
Ujarnya, ini menggugat kredibiliti kerajaan dan menimbulkan persoalan
tentang keupayaan dan kekemasan sistem dan prosedur kewangan dalam
kementerian-kementerian yang ada di Malaysia. Sejauh dan sedalam manakah
kelemahan ini wujud?
“Perkara
ini juga sekaligus menambahkan perasaan marah dan jelak rakyat terhadap
sebarang kegiatan penyelewengan dana yang sepatutnya digunakan demi
kepentingan bukan untuk beratus malah berjuta rakyat Malaysia.
“Sesuatu penyelewengan tidak boleh disembunyikan. Ia perlu
didedahkan. Ia tidak boleh dimaafkan. Tindakan tepat dan tegas perlu
diambil agar perkara yang sama tidak berulang.
“Tertuduh perlu disiasat dan jika bukti yang cukup ada, maka beliau
perlu dibawa kemuka pengadilan. Ini bukan soal menghukum tetapi agar
memberi amaran yang keras kepada mereka yang melakukan perkara sama atau
yang berniat untuk melakukan perkara yang sama,” ujarnya yang juga
Pengarah Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV)
Tambahnya, YB Menteri telah melakukan tindakan tepat dalam melakukan
pendedahan, membuka ruang, memohon penyiasatan dan tindakan segera dari
Ketua Setiausaha Negara yang bukan dari Kementerian Belia dan Sukan agar
tiada konflik berlaku dalam proses penyiasatan.
“Saya mengambil maklum bahawa proses dan prosedur yang kita ada di
dalam Malaysia sudah pastinya mempunyai kelemahan. Ia adalah ciptaan
manusia. Saya juga mengambil maklum di mana-mana sahaja terdapat
individu yang berniat tidak baik dan ingin menggunakan kedudukan dan
kecerdikan mereka ke arah yang salah.
“Tiada sebuah sistem dalam dunia ini yang tidak mempunyai kelemahan.
Tetapi kita boleh menambahbaik sistem tersebut jika kelemahan itu
dijumpai.
“Dalam perkara sebegini, persoalannya adalah apakah tindakan yang
akan kita lakukan apabila penyelewengan itu berlaku? Adakah kita
bersekongkol agar tidak dikritik atau kita bertindak untuk menegakkan
keadilan?,” tambahnya.
Tindakan YB Menteri jelasnya lagu adalah tindakan yang patut
dilakukan oleh sesiapa saja dalam tampuk kepimpinan mana-mana organisasi
dalam mencari kebenaran.
Ia katanya lagi merupakan satu tindakan yang amat diarapkan dari
seorang pemimpin yang telah mendapat mandat rakyat untuk menjaga dan
mentadbir negara ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment