Thursday, March 17, 2016
Peserta Pesta Bogel di Taman Negara Pulau Pinang Dapat Kebenaran
Mahkamah Majistret di Balik Pulau diberitahu Rabu bahawa petugas Taman
Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang memberi kebenaran kepada sekumpulan
pelawat yang meminta untuk tidak berpakaian ketika mengadakan aktiviti
di pantai Teluk Kampi di taman itu.
Pekerja Rendah Awam Sharudin Isa, 41, berkata dia membenarkan mereka
berbuat demikian dengan syarat perlu mengenakan semula pakaian jika ada
pelancong lain di kawasan itu.
"Seorang wanita berambut pendek datang kepada saya meminta kebenaran
untuk bermalam di situ dan meminta bagi pihak kumpulan itu, kebenaran
untuk tidak berpakaian.
"Pada masa itu, lebih kurang 15 orang ada di situ.
"Saya benarkan dan minta mereka memakai semula pakaian jika ada pelancong lain di situ.
"Hari itu hanya saya seorang sahaja yang bertugas menjaga pos kawalan di
pantai Teluk Kampi dan tidak ada pelancong lain selain mereka," kata
saksi keenam itu di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.
Sharudin berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan
Pendakwa Raya Shafiq Mahadi berhubung kes empat individu didakwa
menyertai pesta bogel di Teluk Kampi, Taman Negara itu pada 30 Mei dua
tahun lalu.
Pada 28 Ogos 2014, tiga wanita iaitu Chew Tok Hwa, 59; Chan Chia Wen,
29; Teh Guan Hoon, 39; serta seorang lelaki, Kong Meng Leong, 40;
mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mendatangkan kegusaran kepada
orang awam kerana berbogel di Pantai Teluk Kampi.
Kejadian berlaku antara pukul 3 dan 6 petang, 30 Mei dua tahun lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum
di bawah Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tiga
bulan atau denda atau kedua-duanya.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama enam lagi
individu - Loh Kok Hong, 43; Mu Wai Peng, 36; Justin Ang Ji Keng, 26;
Yam Kam Hoong, 56; Lionel Loo Joo Heng, 54; dan R. Nanda Kumar, 42.
Bagaimanapun enam individu terbabit mengaku bersalah dan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan penjara sebulan.
Ditanya apa lagi yang berlaku pada hari kejadian, Sharudin yang
berkhidmat selama 12 tahun dengan Taman Negara itu berkata mereka
mengadakan aktiviti di tepi pantai pada sebelah petang sebelum
mengadakan aktiviti di dewan serbaguna yang berdekatan pada sebelah
malam.
"Mereka tidak membawa khemah dan meminta kebenaran untuk menggunakan dewan serbaguna yang terdapat di situ.
"Saya benarkan mereka gunakan (dewan). Mereka juga meminta kebenaran
untuk membuat unggun api dan saya beri mereka zink untuk alas unggun
api. Selepas itu saya kembali ke pos kawalan.
"Saya lihat mereka menari mengelilingi unggun api dalam keadaan tidak
berpakaian. Saya nampak lelaki dan wanita yang tidak berpakaian...mereka
beraktiviti di dewan itu sehingga lewat malam," katanya.
Peguam Haijan Omar yang mewakili Chew, Chan dan Kong kemudian bangun
mempersoalkan waktu kejadian berikutan saksi mengatakan nampak kesemua
tertuduh tidak berpakaian pada sebelah petang dan malam sedangkan kertas
pertuduhan menyebut waktu kejadian antara pukul 3 dan 6 petang.
Shafiq kemudiannya memohon pindaan lisan kepada pertuduhan untuk menukar
waktu kejadian kepada antara pukul 3 petang hingga 11 malam.
Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas mendapat persetujuan pihak
pembelaan dan pertuduhan dibacakan semula kepada keempat-empat tertuduh.
Ketua Unit Pendakwaan Datuk Razali Che Ani turut mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Jason Khor mewakili Teh.
Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bersambung 15 April depan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment