Thursday, March 10, 2016
Serangan Lawan Adalah Ujian Ketahanan Dan Perkasakan Antibodi Politik UMNO – Annuar
KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar
Musa berkata UMNO tidak berada dalam kedudukan kronik tetapi berdepan
dengan cabaran dan ujian yang getir yang sebenarnya menguji ketahanan
serta memperkasakan antibodi politik.
Jelasnya tidak ada satupun parti politik dalam dunia ini yang tidak berhadapan dengan cabaran isu dan sebagainya.
“UMNO masih parti pemerintah dan membentuk kerajaan dengan mengikut
peraturan yang ada dalam perlembagaan. Cabaran dan dugaan itu adalah
perkara biasa bagi pemerintah. Lagi banyak cabaran yang kita hadapi maka
kita akan lebih kuat dengan syarat UMNO ada positif attitude untuk menangani masalah.
“Perlu
diingat bahawa setiap cabaran itu adalah proses untuk menguji ketahanan
dan memperkasakan antibodi politik. Kalau banyak menghadapi ujian maka
kita akan membina ketahanan diri yang lebih tinggi,” katanya selepas
mengadakan lawatan ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di
sini, hari ini.
Tambah beliau pada masa ini isu-isu yang sedang dihadapi oleh UMNO
hanyalah isu biasa dan tidak ada perkara yang luar biasa kerana UMNO itu
adalah sebuah parti yang solid.
“Kita adalah sebuah parti yang mengamalkan permuafakatan. Kita ada
bahagian-bahagian, 22 ribu cawangan dan ahli lebih tiga juta. Berbeza
dengan apa yang pernah UMNO alami dulu dengan wujudnya team A Team B,
kebinet berpecah dua, majlis tinggi berpecah dua.
“Keadaan ini tidak wujud sekarang. UMNO sedar ia sedang diasak
daripada luar dan dalam namun kita berazam untuk bersatu dan bermuafakat
kerana menerusi pengalaman, hanya dengan bersatu dan bermuafakat kita
mampu teruskan legasi,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berkata UMNO perlu bersikap lebih terbuka dan
menjalinkan hubungan rapat dengan media arus perdana kerana peranan
media amat penting di dalam menyebarkan segala maklumat berkaitan
perjuangan UMNO.
“Media memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan maklumat tentang UMNO agar rakyat lebih memahami apa itu UMNO.
“Kerana itu UMNO tidak boleh berada dalam kepompong sendiri dan perlu
lebih terbuka dan bersikap responsif kepada kehendak pihak media demi
memudahkan kerja mereka untuk menyebarkan maklumat.
“Kerana itulah saya mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan media
demi menjalinkan hubungan yang lebih baik selain boleh mendapatkan
gambaran, nasihat, maklum balas dan teguran,” katanya.
Dalam kunjungan ke Wisma Bernama hari ini, Tan Sri Annuar bersama
Jawatankuasa Penerangan UMNO meluangkan masa lebih dua jam untuk
meninjau di samping mendengar taklimat berkenaan operasi agensi berita
tersebut.
Kehadiran beliau telah disambut Ketua Pengarang Bernama, Datuk
Zakaria Abd Wahab, Timbalan Ketua Pengarang, Datuk Mokhtar Hussain,
Mikhail Raj Abdullah dan Ahmad Zukiman Zain, pengarang dan pegawai
kanan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment