Thursday, March 10, 2016

Shamsul Iskandar Dedahkan Apa Yang Mahathir Mahu Semasa Perjumpaan ‘Anti-Najib’ Semalam

Shamsul Iskandar
KUALA LUMPUR : Pakatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat semakin terdesak apabila kumpulan itu mahu menghasut rakyat pula bagi menandatangani deklarasi yang dilancarkan mereka.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, perkara itu dicapai dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam diketuai bekas Perdana Menteri itu untuk menggerakkan siri jelajah ke seluruh negara.

Tidak cukup dengan itu, kata pemimpin PKR tersebut, pihaknya turut menggerakkan kempen secara dalam talian untuk tujuan berkenaan.

“Semalam Dr. Mahathir berkata bahawa fokus utama pihaknya selepas ini untuk turun ke bawah bertemu rakyat membuat program dan jelajah ke seluruh negara.

“Apa yang kita buat ini juga salah satu cara demokrasi kerana kita bukan angkat senjata pun tetapi gerakan keamanan sebagai tanda protes,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, kumpulan pakatan Dr. Mahathir dan pembangkang mengadakan mesyuarat susulan daripada majlis deklarasi yang diadakan pada 4 Mac lalu bagi menjatuhkan Najib.

Mesyuarat tersebut dihadiri sebahagian besar yang menandatangani deklarasi itu termasuk bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau tetap menyokong deklarasi itu walaupun tidak sependapat dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan tindakan menjatuhkan Najib sebagai kerja sia-sia.

“Saya menyokong deklarasi, tidak timbul soal ‘sekapal’ atau tidak dengan Presiden kerana itu satu perbezaan pendapat yang perlu diraikan.

“Ini satu komitmen bersama kami dalam deklarasi ini walaupun pelbagai latar belakang politik, tetapi mempunyai keazaman yang sama untuk mengundurkan Najib,” katanya.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment