Wednesday, March 23, 2016
Terengganu Potong Gaji Bulanan MB, Exco, Wakil Rakyat Untuk TDI
Terengganu akan melaksanakan pemotongan gaji bulanan Menteri Besar, Exco
dan wakil rakyat untuk disalurkan kepada Tabung Darul Iman (TDI) demi
manfaat rakyat negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sebagai
permulaan, sebanyak 10 peratus gajinya dipotong setiap bulan untuk
disumbangkan kepada TDI.
“Borang persetujuan pemotongan gaji akan diedarkan kepada barisan Exco
dan wakil rakyat, selain kita menggalakkan penjawat awam di negeri ini
untuk turut sama menyumbang kepada TDI.
“Setiap bulan, kita memerlukan sebanyak RM800,000 untuk tabung ini. Jadi
kita perkenalkan konsep ini untuk TDI yang diuruskan di bawah Pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof,” katanya ketika menghadiri Program
Jamuan Bersama Rakyat DUN Pengkalan Berangan, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi
dan Multimedia Negeri, A.Latiff Awang yang juga ADUN Pengkalan Berangan.
Bagaimanapun, Ahmad Razif tidak menyatakan bila pemotongan gaji itu dimulakan dan tempoh pelaksanaannya.
TDI yang dilancarkan kerajaan negeri pada Januari lepas bertujuan
meringankan penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera terutama
mereka berdepan musibah dan penyakit kritikal.
TDI merupakan penggabungan tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul
Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial
Perubatan, yang memudahkan urusan mengurus dan menyelaras bantuan dengan
lebih sistematik dan efisien.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment