Thursday, March 10, 2016
Tiga Kali Dr Mahathir Keluar UMNO Kerana Merajuk, Tidak Puas Hati
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merekodkan
sejarahnya yang tersendiri apabila petang semalam sekali lagi
mengumumkan keluar dari UMNO.
Pengumuman semalam itu bermakna dalam tempoh 47 tahun sejak 1969
sudah tiga kali Dr Mahathir keluar dari UMNO kerana alasan yang sama –
konflik dan tidak puas hati dengan pucuk pimpinan parti.
Pada 19 Mei 2008, dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 2008
(PRU-12), Dr Mahathir mengambil langkah mengumumkan keluar UMNO kerana
merajuk dan tidak puas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri ketika
itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).
Peristiwa kali kedua Dr Mahathir keluar UMNO itu yang berlaku
kira-kira lapan tahun lalu itu terjadi selepas seorang ahli PAS dari
Kedah, Ismail Wan Teh mencabar Dr Mahathir keluar dari UMNO ketika sesi
soal jawab dialog di sebuah hotel di Alor Setar.
Beliau menyertai semula UMNO pada 4 April 2009, beberapa hari selepas
Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik menjadi Perdana Menteri
menggantikan Pak Lah.
Penyertaan semula Dr Mahathir bersama UMNO ketika itu bagaimana pun
gagal membantu BN untuk menguasai semula Parlimen Bukit Gantang dalam
Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 April 2009.
Terdahulu, akibat serangan bertali arus Dr Mahathir ke atas
kepimpinan Pak Lah sejak 2006 membolehkan pembangkang mengambil
kesempatan dan mengakibatkan BN hilang penguasaan di lima buah negeri
– Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan dalam Pilihan Raya
Umum Ke-12 2008.
Kelantan yang sebelumnya jatuh ke tangan PAS sejak PRU 1990 susulan
perpecahan dalam UMNO membabitkan sengketa antara Dr Mahathir dengan
Team B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menyaksikan BN tewas
lebih teruk dalam PRU 12 2008 dengan hanya memenangi enam daripada 45
kerusi Dewan Undangan Negeri.
Dr Mahathir yang pernah menjadi Presiden UMNO selama 22 tahun pertama
kali dipecat dari parti itu pada 26 September 1969, selepas bersengketa
dengan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
UMNO menerima semula keahlian beliau pada 7 Mac 1972 selepas Perdana
Menteri Kedua, Tun Abdul Razak yang mengambil alih jawatan Presiden
parti.
Selepas kembali bersama UMNO, Dr Mahathir diberi ruang seluas-luasnya
untuk mendaki hierarki kepimpinan parti sehinggalah dilantik sebagai
Timbalan Perdana Menteri sewaktu Tun Hussien Onn menjadi Perdana Menteri
ketiga selepas Tun Abdul Razak.
Beliau kemudiannya mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas Tun Hussien Onn meletakkan jawatan pada Julai 1981.
Sejak mengambil alih jawatan Presiden UMNO serta menjadi Perdana
Menteri Keempat, Dr Mahathir sering menekankan kepentingan di kalangan
ahli dan pemimpin UMNO supaya taat setia tanpa berbelah bahagi kepada
parti terutama sekali ketika kemelut di antara Team A dan Team B pada
1987 serta semasa zaman reformasi 1998-99.
Sepanjang 22 tahun menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, beliau
pernah dibantu oleh empat timbalannya yang bersilih ganti iaitu Musa
Hitam, Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Abdullah Badawi.
Di antara keempat-empat bekas timbalannya itu hanya Allahyarham Tun Ghaffar Baba yang kekal menjadi rakan politik Dr Mahathir.
Dalam tempoh itu juga Dr Mahathir memusuhi dan dimusuhi oleh
dua bekas Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien Onn
yang menentang corak pentadbirannya terutama selepas kemelut Team A dan
Team B tahun 1987.
Selepas tidak lagi berada di tampuk kuasa, Dr Mahathir mula
mengkritik pula kepimpinan orang pilihannya, Pak Lah dan kini beliau
menyerang pula Datuk Seri Najib yang juga orang pilihannya selaku
Perdana Menteri selepas beliau berjaya menjatuhkan Pak Lah sepanjang
sengketa 2006 – 2009.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment