
Wednesday, March 16, 2016
Tohmahan Negatif Media Luar Tidak Jejas Kemasukan Pelaburan Asing – PM

KUALA LUMPUR : Tohmahan negatif yang di lemparkan oleh media
luar tidak akan menghalang sentimen pelabur asing, sekali gus tidak akan
menjejaskan pengaliran kemasukan pelaburan asing ke dalam negara, kata
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Sebenarnya yang penting ialah fakta pencapaian negara (di mana)
pelaburan asing semakin mengalir ke dalam negara, (dan) pencapaian
ekonomi Malaysia juga antara yang tertinggi di dunia.
“Maknanya, isu-isu yang diuar-uarkan (oleh pihak media luar) adalah
secara tersusun atau ‘orchestrated’,” katanya pada sesi soal jawab di
persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara)
berhubung tindakan dalam menangani persepsi negatif media seluruh dunia
yang menumpukan isu domestik negara termasuk 1Malaysia Development Bhd
dan RM2.6 billion, yang didakwa memberi kesan kepada pelabur asing.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata penyelesaian bagi isu-isu
yang berbangkit akan didedahkan, dan proses tersebut diserahkan kepada
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan pihak-pihak lain yang
berkenaan.
“Jadi, tiada apa-apa yang patut dirisaukan kerana proses akauntabiliti akan tetap dijalankan bagi negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, Najib juga berkata Malaysia, yang merupakan antara
negara perdagangan yang tertinggi di dunia, mempunyai kedudukan yang
amat startegik dalam rangka perdagangan dunia dan serantau.
Penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Trans-Pasifik serta Perjanjian
Perdagangan Bebas (FTA) yang lain seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi
Komprehensif Serantau (RCEP) akan menguntungkan negara terutama dari
aspek meningkatkan jumlah perdagangan luar negara.
RCEP adalah antara perjanjian perdagangan bebas utama yang sedang
dirundingkan oleh 10 negara anggota ASEAN dan rakan-rakan enam FTA yang
lain — Australia, China, India, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.
Jumlah dagangan luar Malaysia mencapai 170 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Najib berkata Malaysia merupakan antara negara pelabur utama dalam
kalangan ASEAN dengan syarikat tempatan melabur secara meluas dalam
bidang perbankan, perladangan, perhotelan dan pelancongan, industri
penerbangan, sektor perkilangan, utiliti dan infrastruktur.
Beliau berkata integrasi ekonomi ASEAN bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia, malah negara anggota yang lain.
“Malaysia berhasrat untuk melihat ASEAN menjadi sebuah rantau yang
maju dan berpendapatan tinggi per kapita, kualiti hidup yang tinggi,
serta keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan di rantau ini.
“Langkah-langkah ini secara tidak langsung akan membantu Malaysia dan
ASEAN untuk menangani krisis ketidaktentuan ekonomi,” kata Perdana
Menteri.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment