
Thursday, March 17, 2016
TPPA Tidak Akan Jejas Syarikat Vendor Bumiputera – Mustapa

KUALA LUMPUR : Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik tidak
akan menjejaskan syarikat-syarikat vendor Bumiputera, kata Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata ini dibuktikan dengan pemeteraian Memorandum
Persefahaman (MoU) bersama dua syarikat induk baharu hari ini bagi
pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera.
“TPPA tidak akan jejaskan vendor-vendor Bumiputera, dan hari ini kita
bekerjasama dengan dua lagi syarikat induk, menjadikan jumlah
keseluruhan syarikat induk adalah 18 syarikat sehingga kini,” kata
Mustapa ketika berucap pada majlis menandatangani MoU pelaksanaan
program pembangunan vendor Bumiputera dengan dua syarikat induk itu di
sini.
Syarikat induk berkenaan akan membantu syarikat vendor Bumiputera
dari segi bimbingan latihan, teknikal dan khidmat nasihat serta
pembangunan penyelidikan.
Dua syarikat tersebut adalah Serba Dinamik Sdn Bhd dan Uzma Engineering Sdn Bhd.
Dengan termeterainya dua lagi MoU, jumlah syarikat induk meningkat kepada 18 syarikat berbanding 16 pada tahun 2014.
Daripada jumlah itu, 11 adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di
bawah naungan Khazanah Nasional Bhd, enam syarikat tempatan dan satu
syarikat multinasional.
Keseluruhan syarikat mempunyai perolehan sebanyak RM10.867 bilion
pada 2015 dan sehingga kini sebanyak 2,670 syarikat vendor Bumiputera
telah dilantik oleh syarikat induk.
Secara keseluruhan, sehingga Disember 2015, sebanyak 55,066 syarikat vendor telah berdaftar di bawah 18 syarikat induk.
Daripada jumlah tersebut, 17,729 (32 peratus) adalah syarikat vendor
Bumiputera manakala sebanyak 37,337 (68 peratus) adalah syarikat vendor
bukan Bumiputera dan luar negara.
Nilai perolehan yang dinikmati sebanyak RM23.15 bilion (42 peratus)
manakala nilai perolehan yang diberikan kepada syarikat vendor bukan
Bumiputera dan luar negara ialah RM30.95 bilion (58 peratus).
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment