
Thursday, March 10, 2016
Zahid Yakin Isu Di Terengganu Dapat Diselesaikan Dengan Baik

PUTRAJAYA : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan isu usul undi tidak percaya terhadap
Menteri Besar Terengganu hanyalah pergesaran kecil dan tidak perlu
diperbesarkan.
Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden
UMNO yakin isu itu boleh ditangani serta diselesaikan dengan baik dan
berkesan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri itu.
Katanya beliau sudah berhubung dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad
Razif Abd Rahman dan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di
Terengganu bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung perkara itu.
“Dengan usaha bersama semua anggota parti dan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) (dan
Presiden UMNO), akan mampu diselesaikan melalui mekanisme yang boleh
diterima semua pihak,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.
Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini,
Ahmad Zahid berkata mekanisme berkenaan akan diumumkan Setiausaha Agung
UMNO dan BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam masa terdekat.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said,
yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, pada Selasa mencadangkan usul
undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif sebelum mengakhiri perbahasannya
pada sesi perbahasan atas titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan
Zainal Abidin merasmikan persidangan DUN ke-13.
Bagaimanapun, speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong menolak “usul” itu.
ADUN Kijal itu mengemukakan alasan bahawa terdapat konspirasi
untuk memburukkan nama beliau dalam politik dan sebagai wakil rakyat.
Berhubung tindakan tatatertib ke atas Ahmad, Ahmad Zahid berkata
perkara itu akan difikirkan apabila Lembaga Disiplin UMNO bersidang
kelak.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut berterima kasih
kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas pendirian
berintegriti parti itu menolak usaha kumpulan diketuai bekas perdana
menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkan Najib sebagai
perdana menteri melalui kaedah tidak demokrasi.
“Ini bukan menifestasi berlandaskan tahaluf siyasi atau kerjasama
politik tetapi lebih kepada pemahaman Abdul Hadi dan PAS mengenai
menghormati perlembagaan atau perundangan berkaitan cara yang betul
menukar perdana menteri,” katanya.
Berhubung kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan hari
ini bahawa parti itu akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang
baharu yang akan melibatkan sebuah parti pelbagai kaum dan badan bukan
kerajaan, Ahmad Zahid berkata “ia merupakan satu amalan demokrasi dan
kita meraikan perbezaan pendapat dan pendirian mereka”.
Menurut Takiyuddin pengumunan penubuhan ‘blok politik ketiga’ pada 16
Mac itu diharap akan setanding dengan Pakatan Harapan dalam menghadapi
pilihan raya umum akan datang.
Ditanya apakah UMNO tergugat dengan langkah tersebut khususnya usaha
PAS untuk membolehkan mereka menguasai sokongan orang Melayu, Ahmad
Zahid berkata ia bergantung kepada kesepaduan dan sokongan antara UMNO
dengan masyarakat di akar umbi.
Beliau yakin dengan perancangan dan gerak kerja yang dilipatgandakan
serta pendekatan lebih bijak yang digunakan jentera UMNO, dukungan atau
sokongan rakyat terhadap parti itu akan terus bertambah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment