Monday, February 18, 2013
Gelombang Merah Kelantan Berubah, Tukar Itu Hijrah Tanah Itu Maruah
Petang semalam menyaksikan hampir kebanyakan jalanraya sekitar Bangunan UMNO Negeri di Kota Bharu penuh sesak dengan kehadiran
ribuan rakyat Kelantan dari pelbagai lapisan sebagai tanda sokongan mereka kepada Himpunan Tukar Kelantan 2013 (HTK2013).
Anggaran kehadiran mungkin mencecah 10,000 orang termasuk peserta konvoi motosikal, teksi dan kereta persendirian. Turut serta menjayakan HTK2013 ini termasuklah NGO seperti TUKAR, Ummati, Minda Pondok dan beberapa NGO lain.
Mereka berhimpun bukannya untuk mencontohi perilaku buruk penyokong PR yang gemar bertindak di luar tabii atau berkelakuan ganas seperti tayang punggung di khalayak ramai atau pun menterbalikkan kenderaan polis, jauh sekali dari berhasrat untuk mengubah reka bentuk panji negara atau bendera Kelantan.
Malah tiada rakyat Kelantan di HTK2013 ini yang datang
bersama kelengkapan topeng pemedih mata atau pun bekalan air garam, menunjukkan khalayak yang hadir langsung tak berminat ke arah unsur pemberontakan atau demonstrasi jalanan yang tak terkawal.
Tiada kelibat peserta HTK2013 yang terdiri daripada golongan LGBT malah tiada pondan atau pelacur yang tampil sama memberi sokongan, membuktikan HTK2013 bersih dari unsur maksiat dan sama sekali bertentangan dengan HKR#112 di Stadium Merdeka anjuran PR tempohari.
Sebaliknya anak-anak Kelantan yang sedar diri dan menginsafi kebobrokan yang sedang berlaku di negeri Serambi Mekah ini datang dengan nawaitu yang jelas, yakni untuk menyokong kebangkitan gelombang merah ke arah perubahan yang lebih baik.
Mereka mahu melaksanakan proses hijrah dari terus diperintah oleh Kerajaan PAS Kelantan yang terbukti lemah urusan tadbirnya dan lembap pula kepimpinan MBnya, untuk ditukar kepada yang baru yang diyakini mampu mengembalikan semula maruah rakyat negeri ini.
Dilihat pada gelombang kebangkitan rakyat Kelantan yang semakin membuak-buak ini, gayanya pendekatan pimpinan UMNO negeri sudah berada di landasan yang betul dan menepati kehendak majoriti rakyat sekaligus berpeluang untuk mendapat kembali mandat memerintah Kelantan selepas 23 tahun negeri ini dijajah oleh PAS.
Lagipun, sebahagian besar rakyat Kelantan semakin sedar lebih lama PAS memerintah bermakna hampir setiap inci tanah-tanah di negeri ini berkemungkinan akan jatuh ke pihak lain terutama melalui proses pajakan berpuluh tahun yang hanya menguntungkan pihak yang terlibat sahaja.
PAS, tanah dan balak tidak pernah berpisah, bagai aur
dengan tebing. Di mana PAS memerintah di situlah akan ada puluhan ribu ekar tanah yang dipajak gadai dengan berselindung disebalik alasan pembangunan atau pertanian tapi hakikatnya motif sebenar tertumpu kepada usaha merobek kekayaan hasil bumi Kelantan yang berupa kayu kayan balak.
Kalau kekayaan negeri dikongsi bersama dan tempiasnya dinikmati kebanyakan rakyat jelata tidak akan timbul isunya, tapi bila mana hanya segelintir yang menikmatinya itu petanda betapa parahnya kepimpinan negeri ini.
Rakyat Kelantan sudah naik muak, PAS perlu ditukar dalam PRU 13 kelak dan gelombang merah ini akan merintis dan menjadi saksi penting di mana negeri yang pernah terkenal dengan jolokan Serambi Mekah ini bakal berubah ke arah lebih baik.
Berubah dan bertukar ke arah kebaikan itu menepati proses penghijrahan, lagikan pula cukup-cukuplah tanah bumi Kelantan menjadi milik kroni PAS, tatkala pribumi sendiri asyik merintih gara-gara kelemahan PAS dalam menguruskan
kekayaan hasil mahsul negeri.
Tanah itulah maruah anak negeri, jika bumi dipijak ini banyak yang jadi milik orang lain, manakala harta benda dan hasil kekayaannya asyik mengalir ke tangan yang lain, akhir kelak seluruh negeri akan terjajah dan kita akan terus merintih lagi.
Rakyat Kelantan perlu teruskan kebangkitan ini, semarakkan lagi gelombang merah ke serata negeri untuk memulihkan kembali maruah dan harga diri. Jika perubahan ini bukan untuk kita orang dewasa, setidak-tidaknya hijrah ini akan memberi makna besar untuk anak-anak kecil kita kelak.
* semua foto diceduk dari pelbagai sumber, kredit kpd blog tukar-kelate, siemens, hambali, montero dan juga facebooker kelate.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment