Wednesday, February 06, 2013
Perlembagaan Negara: Amanat Hadi & Buku Jingga, Mana Satu Pegangan PAS?"
Amanat Hadi yang diucapkan oleh Abdul Hadi Awang ketika beliau berceramah di
Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 merupakan antara punca
utama yang menyemarakkan perpecahan sesama Islam apabila orang Islam yang
menyokong UMNO menerima tempiasnya berikutan tuduhan UMNO adalah kafir.
Para penyokong PAS meyakini sesiapa sahaja yang bukan dari puak mereka adalah
terkeluar dari Islam dan kafir, lebih-lebih lagi bila mana UMNO dan BN berpegang
teguh pada Perlembagaan Negara yang disytiharkan oleh Hadi sebagai perlembagaan
jahiliah, sekular dan undang-undang kafir.
Melalui amanat itu juga Hadi mengikrarkan bahawa penentangan PAS terhadap
UMNO & BN yang mendaulatkan Perlembagaan Negara itu adalah satu jihad baik
dari segi derma wang ringgit mahupun sekiranya seseorang penyokong PAS mati
ketika menentang UMNO dan BN, maka kematiannya adalah jihad dan mati syahid.
Atas keyakinan itulah mendorong para penyokong PAS melakukan pemulauan dan
memboikot urusan jenazah orang UMNO serta memulaukan solat berjemaah yang
diimamkan oleh tok imam yang mendapat tauliah dari Kerajaan BN sehingga akhirnya
terjadilah solat dua imam dalam satu mukim.
Baru-baru ini Abdul Hadi Awang yang kini adalah Presiden PAS telah memecahkan
kebisuannya selepas berminggu-minggu berdiam diri dari menjawab kecaman
masyarakat terhadap Amanat Hadi yang telah memudaratkan hubungan antara anggota
masyarakat khususnya melibatkan sesama Islam.
Barangkali Presiden PAS itu baru mendapat kekuatan setelah mendapat nasihat
daripada para macainya mengenai kaedah terbaik untuk menjawab isu amanatnya.
Dek kerana itu barulah Hadi berani tampil dengan syarat pelik untuk
menjelaskan isu Amanah Hadi hanya jika siaran langsung penjelasannya dipancarkan
melalui TV1 ataupun TV3.
Kenapa syarat itu kelihatan pelik? Sebabnya, selama bertahun-tahun ini PAS
dan parti pembangkang lain aktif berkempen meminta penyokongnya memboikot RTM
dan TV3, alih-alih sekarang terhegeh-hegeh pula mahu muncul di kedua-dua siaran
TV.
Kini, Stesyen TV yang dipropagandakan oleh PAS kononnya pembohong, penipu dan
dituduh sebagai alat kempen Kerajaan Barisan Nasional itu jugalah yang
dikejar-kejar oleh pemimpin tertinggi PAS itu. Satu sikap hipokrit yang agak
menonjol sekali, amat memalukan.
Dalam pada itu, jika dulu melalui Amanat Hadi, Presiden PAS itu teguh
menghasut penyokongnya menentang UMNO & BN atas sebab wujudnya Perlembagaan
Negara yang dikatakan jahiliah, sekular, kafir dan sebagainya, persoalannya apa
beza Perlembagaan 1981 dulu dan sekarang?
Tiada perbezaan ketara, agama Islam masih agama persekutuan sama seperti dulu
hatta pemberian wang peruntukan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri termasuk yang
kini dikuasai oleh PAS dan PR juga dilaksanakan sebagaimana kehendak
perlembagaan Negara.
Jika benar Perlembagaan Negara adalah perlembagaan jahiliah, kafir dan
sekular, soalnya sekarang kenapa PAS melalui kerjasamanya dalam PR memperakui
ikrar untuk mengekalkan Perlembagaan Negara sebagaimana termaktub dalam Buku
Jingga yang ditandatangani oleh semua pemimpin tertinggi PR?
Dalam Dasar Bersama Buku Jingga itu menyebut salah satu daripada tiga ikrar
PR ialah;-
“Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi
Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di
mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan
anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah
kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.” (Buku Jingga PR)
Manakala di dalam Amanat Hadi 1981 pula jelas bercanggah kandungannya apabila
mengikrarkan perlembagaan Negara sebagai jahiliah, kafir dan sekular seterusnya
menjadi dorongan utama untuk PAS menentang UMNO & BN.
“Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan
Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah
kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir,
mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh
kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan
mereka.
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah
jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana
kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah
Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak
perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku,
agama suku’”.(Amanat Hadi)
Di antara kedua-dua ini, Amanat Hadi dan Buku Jingga saling bertentangan
antara satu sama lain, walaupun mengucapkan manata tersebut dan yang
menandatangani ikrar Buku Jingga adalah orang yang sama yakni Presiden PAS,
Abdul Hadi Awang.
Alang-alang Hadi sudah mendapat lampu hijau dari Menteri berkenaan untuk
memberi penjelasan berhubung amanatnya itu, adalah molek sekali sekiranya Hadi
dan pimpinan PAS yang lain mengumumkan pendirian mereka sama ada mahu berpegang
pada Amanat Hadi atau Buku Jingga dalam hal melibatkan Perlembagaan Negara.
Dipetik daripada : www. mykmu. net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment