Tuesday, September 22, 2015

Masih Tak Dapat Membezakan Maksud Rasuah Dan Sumbangan?

EDITOR MENULIS...
22 SEPTEMBER 2015
anwar-wolfowitz
Nak ketawa pun ada, nak marah pun ada. Itulah yang saya rasa apabila mengenangkan ramai yang tidak tahu untuk membezakan sumbangan dan rasuah. Dua perkataan yang sangat berbeza makna yang berteraskan subjek yang sama, iaitu duit.

Peliknya, yang tidak faham itu adalah mereka yang berbangsa Melayu dan Bahasa Melayu merupakan bahasa kegunaan harian mereka. Mereka rata-ratanya masih tidak berpuas hati dan cuba menyindir tentang sumbangan RM2.6 bilion yang disumbangkan kepada Presiden UMNO.

Kata mereka, RM2.6 bilion itu rasuah dan tidak wajar ditakrifkan sebagai sumbangan politik.

Saya rasa, sudah berbuih mulut dijelaskan bahawa wang tersebut merupakan sumbangan dana politik kepada UMNO yang disalurkan melalui akaun Presiden UMNO yang menjadi pemegang amanah parti. Sangat mudah untuk difahami penjelasannya, bukan?

Dari mana datangnya wang itu? SPRM sendiri sudah mengesahkan bahawa wang itu datangnya dari Timur Tengah. Bila disebut negara Timur Tengah, saya yakin terlintas di fikiran kita bahawa negara itu adalah negara Islam, bukan?

Kenapa disalurkan kepada akaun Dato’ Seri Najib Tun Razak? Ikut suka penyumbanglah untuk salurkan ke akaun mana yang mereka suka! Takkanlah hendak disalurkan pada Tun Dr Mahathir? Nanti dia pakai untuk Proton dan kayakan kroni dia pula, kan? Khabarnya dia meminta berbilion ringgit untuk Proton yang bukan lagi berstatus GLC negara, benarkah?

Lagipun, secara logik akalnya, Najib merupakan salah seorang pemegang amanah bagi parti UMNO. Bila wang dimasukkan ke akaunnya, sudah tentu ada rekod masuk dan keluar wang berkenaan. Jadi, tidak perlu risau jika ia tercicir di tengah jalan seperti yang berlaku sewaktu orang lain jadi Presiden UMNO sebelum ini.

Khabarnya, wang itu digunakan untuk PRU ke-13 tempohari. Jika dihitung, RM2.6 bilion dan dibahagi-bahagikan kepada 222 kawasan Parlimen dan lebih 500 Dewan Undangan Negeri, calon yang bertanding dan perbelanjaan lain, apakah jumlah itu mencukupi? Faham?

Ada orang kata, pilihanraya di zamannya hanya menggunakan wang sebanyak RM10 juta sahaja. Percaya pada kata-kata itu? Saya harap tidak ada yang muntah kahak hijau mendengar jumlah RM10 juta digunakan untuk PRU. Kalau nak muntah juga, sila muntah pada orang yang berkata sedemikian…

Berbalik kepada perbezaan antara sumbangan dan rasuah. Pada pandangan saya, rasuah membabitkan perbuatan menyalahguna kuasa untuk mendapat imbuhan sama ada dalam bentuk material atau khidmat dengan memberi sesuatu kepada mereka yang meminta sesuatu atas kuasa yang ada padanya.

Sebagai contoh mudah, seorang pegawai trafik menerima sejumlah wang dari seorang pesalah trafik supaya dia tidak disaman. Maka itu dinamakan rasuah, faham?

Contoh terbaru, mana-mana individu yang membeli rumah di bawah harga pasaran ekoran kelulusan bank yang terbatas pada slip gajinya, dan walaupun tuan rumah setuju menjual rumah tersebut berdasarkan kemampuan pinjaman bank yang terhad itu, maka ia juga dianggap ‘rasuah’.

Sumbangan pula contohnya adalah seperti Kerajaan Arab Saudi memberikan RM1 juta dan tawaran menunaikan haji kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi kren tumbang di Mekah baru-baru ini. Itulah yang dikatakan sumbangan.

Jadi, sumbangan seperti yang dilakukan Arab Saudi itu samalah juga dengan sumbangan dana politik yang diterima Najib. Negara Timur Tengah itu menghargai Najib dan suka sekiranya UMNO terus menerajui Malaysia. Mungkin kerana dasar Islam fundmental yang menjadi contoh banyak negara Islam di luar sana menyebabkan negara Timur Tengah itu menghulurkan sumbangan itu.

Lagipun, selalunya negara Islam di Timur Tengah hanya menyumbang kepada sesuatu yang bertujuan baik untuk agama Islam. Lainlah jika dana itu disumbang dari Israel, Woltfowitz, Soros dan sekutu-sekutu Yahudi di blok-blok negara barat, bukan?
anwar yahudi
Sebagai contoh, ketika berlakunya gempa bumi di Sabah, bukankah ada negara dari Timur Tengah yang menghulurkan sumbangan? Nak diharapkan dari Soros atau negara pro-Yahudi? Kirim salamlah! Lebih baik dihulur pada pihak pembangkang, kan?

Soalnya, apakah sumbangan dana politik wajar dikatakan sebagai rasuah? Jika wajar, saya yakin bahawa semua parti di dunia ini adalah korup kerana mereka semua menerima sumbangan dana politik dari pelbagai pihak, bukan? Jangan tipulah!

Jadi, tidak perlulah untuk disindir RM2.6 bilion itu rasuah atau sumbangan. Itu kebudak-budakan namanya. Sumbanga dana politik itu secara tidak langsung adalah ‘open secret’, semua parti politik termasuk PAS, UMNO, DAP, PKR mahupun Amanah diyakini terima sumbangan dana dari pelbagai pihak.

Bila Najib cabar untuk semua parti politik dedah ‘rasuah’ dana politik yang diberi pada parti politik di Malaysia, ada pula yang tidak setuju. Kenapa? Takut? Bimbang tembelang pecah? Bimbang rakyat Malaysia dapat tahu sumber mereka dari Yahudi, kongsi gelap dan negara blok komunis? Kalau ‘bersih’ sangat, kenapa nak takut, kan?

Tidak perlulah berlagak ‘suci’ sangat. Saya yakin, setiap wang yang keluar masuk di negara kita sememangnya diketahui dari mana sumbernya. Jika PDRM tidak tahu pun, Bank Negara mungkin tahu. Jika Bank Negara tak tahu pun, mungkin LHDN tahu. Cuma tidak digembar-gemburkan sahaja di atas terma ‘kerahsiaan’ dan undang-undang…

Sebab itulah saya agak marah apabila ada rakyat negara kita yang bersikap kebudak-budakan yang tidak faham perbezaan antara rasuah dan sumbangan. Namun saya ketawa semula apabila menyedari betapa ruginya pembangkang yang disokong oleh mereka yang sangat dangkal dan rendah tahap pemikirannya, kan? Fikir-fikirkanlah...

Disediakan oleh :
https://pbs.twimg.com/profile_images/3081822172/f7b2087b86327554673b6ebcc7bf485f.jpeg
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban

No comments:

Post a Comment