Thursday, September 24, 2015
Tiada Elemen Baru Dalam Pakatan Harapan
KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan yang dibentuk oleh pembangkang
semalam bagi menggantikan Pakatan Rakyat gagal mempengaruhi Pas untuk
turut serta dalam kerjasama baharu itu.
Sebaliknya, kekosongan tersebut diisi parti serpihan Pas yang diketuai
Mohamad Sabu, Parti Amanah Negara (Amanah), untuk membentuk kerjasama
dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pas juga malah ‘memboikot’ Sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 yang dibuat pembangkang bagi membincangkan pembentukan Pakatan Harapan.
Malah kehadiran bekas Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar ke sidang
berkenaan hanyalah sebagai pemerhati tanpa restu pucuk pimpinan parti
itu.
Pada masa yang sama, tiada elemen baharu ditonjolkan pakatan itu biarpun
memilih nama harapan, kerana pembangkang masih lagi menamakan Datuk
Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di dalam penjara kerana kesalahan
meliwat sebagai calon Perdana Menteri.
Isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang kini diangkat
sebagai Ketua Pembangkang dalam mencipta alasan bagi mewajarkan perkara
itu menyifatkan, suaminya itu calon terbaik pakatan.
“Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Anwar sebagai calon
Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
“Kami yakin beliau pemimpin paling sesuai untuk menangani kemelut
ekonomi, salah urus tadbir, kebajikan rakyat dan perpaduan kaum,” kata
Wan Azizah dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis tersebut Penasihat DAP, Lim Kit Siang,
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Mohamad serta Timbalan
Pengerusi Amanah, Salahuddin Ayub.
Selain itu, bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin
Abdullah juga hadir tetapi beliau menjelaskan kehadirannya itu di atas
kapasiti sebagai pemerhati.
Kepada soalan apakah ketiadaan Pas itu bererti Pakatan Harapan sudah
menyingkirkan parti kedua terbesar orang Melayu itu, Wan Azizah sekadar
berkata, pakatan baharu tersebut terbuka kepada semua.
“Kita jemput mereka (Pas) datang untuk bermuafakat tetapi mereka sekadar
mengucapkan terima kasih kerana sudi menjemput,” katanya.
Sementara itu, Kit Siang dalam Twitter miliknya berkata, dengan adanya Amanah, DAP tidak lagi memerlukan bantuan Pas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment