Tuesday, September 22, 2015

Lim Kit Siang Tegaskan Pakatan Rakyat Sudah Berkubur

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempertegaskan kembali kenyataan yang dibuat sebelum ini bahawa Pakatan Rakyat (PR) sudah berkubur selepas muktamar PAS ke-61 baru-baru ini.

Menurutnya, Usul Dewan Ulama PAS yang diluluskan tanpa bahas memutuskan hubungan dengan DAP adalah sah dari sudut perlembagaan parti itu.

Ini kerana, katanya, perlembagaan PAS menyatakan bahawa muktamar adalah badan pemutus keputusan paling tinggi dan segala keputusan muktamar tidak boleh dibatalkan selagi tidak bercanggah dengan al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas.


“Saya baca sendiri perlembagaan PAS, ia termaktub dalam Perkara 7 mengatakan muktamar adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti.

“Dari perlembagaan PAS, saya setuju dengan beberapa orang pimpinannya bahawa keputusan PAS mahu putus hubungan dengan DAP jelas sah,”kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, Kit Siang mengatakan sikap kepimpinan PAS hari ini yang berdolak-dalik mengenai kedudukan muktamar dalam parti itu menunjukkan mereka seolah-olah tidak mengiktiraf perlembagaan parti Islam itu sendiri.

Ini ekoran wujud dakwaan kononnya Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat boleh merujuk semula keputusan muktamar sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.

“Ini tidak masuk akal.

“Peruntukan mana digunakan jawatankuasa PAS untuk membatalkan keputusan muktamar?

“Berdasarkan keputusan muktamar itu, jelas sekali Pakatan sudah berkubur dan kita perlu hadapi segala kemungkinan akibat usul PAS itu,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli turut mempertikaikan kepimpinan baharu PAS yang disifatkannya caca merba.

“Keputusan untuk kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) dan berpisah dengan DAP amat mengelirukan,” kata Dr Hatta kepada Roketkini.

Kata Dr Hatta, tidak ada sebarang masalah untuk PAS terus menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Malah, kebanyakan ahli PAS sendiri tidak senang dengan keadaan caca marba parti itu.

“Kepimpinan baru perlu memberi jawapan tepat tentang perkara yang mereka lakukan dengan parti dan Pakatan Rakyat (PR),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis makan makan amal kutipan dana projek Impian Kelantan bersama Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim an Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah.

“Saya berterima kasih dengan pertolongan diberikan DAP dan tidak ada masalah untuk teruskan kerjasama walaupun kami tidak mempunyai hubungan darah, dan sesetengah dari kami (PAS) tidak ada hubungan politik,” katanya. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment