Tuesday, September 22, 2015
UMNO Tidak Gentar Berdepan Keghairahan DAP Tawan Johor
KLUANG : Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Md
Jais Sarday berkata, UMNO Johor sama sekali tidak gentar berhadapan
dengan ‘kata dua’ pembangkang yang diketuai oleh Dap untuk menawan kubu
kuat UMNO iaitu Johor.
Jelasnya, UMNO Johor adalah tiang seri dan sebagai penanda aras
parti, maka tidak mungkin ahli UMNO di negeri ini akan membiarkan
cita-cita Dap untuk bermaharajalela di negeri kelahiran UMNO.
Oleh itu jelasnya, sesuatu harus dilakukan segera agar hasrat pembangkang ini tidak sama sekali menjadi kenyataan.
“Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang UMNO bakal berhadapan dengan
pembangkang yang bukan lagi seperti dahulu. Mereka semakin agresif untuk
menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Maka sebagai langkah terbaru menghadapi tekanan daripada
pembangkang, UMNO Johor akan mengadakan satu seminar memperkasa
perjuangan UMNO dan memahami pemikiran pendiri bangsa 9 dan 10 Oktober
akan datang.
“Sasaran peserta adalah
ahli jawatankuasa bahagian dan sayap yang berkelulusan diploma ke atas.
Mengapa sasaran begini dikenakan? Ini kerana kita mahu mereka golongan
cendiakawan ini mempunyai platform untuk mencurahkan pandangan dan kita
sendiri dapat menggunakan kebijaksanaan mereka dengan baik bagi membantu
parti,” ujarnya dalam wawancara khas bersama pihak media.
Tambah Jais yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kluang, antara
input penting yang akan ditekankan adalah memahami ideologi perjuangan
parti. Mereka yang ingin memberikan pandangan juga harus terlebih dahulu
memahami ideologi perjuangan parti agar tidak lari daripada landasan
yang sebenar.
“Dulu UMNO ditubuhkan atas dasar ingin perjuangkan bangsa dan
merdekakan tanah air.
Hari ini kita telah merdeka dan perjuangan kita
sekarang ini adalah apa yang termaktub dalam perlembagaan iaitu
memelihara agama, bangsa dan tanahair.
“Maka ideologi ini perlu dipegang. Mereka yang menjadi pendokong dan
pemimpin dalam parti perlu memegang perkara ini dengan kuat.
“Sebab itu dalam seminar ini kita akan tekankan berkaitan ideologi
dan memahami pemikiran pendiri bangsa. Kita mahu melihat pemikiran
pemimpin-pemimpin dahulu sehingga boleh merdekakan negara ini sehingga
maju seperti sekarang,” ujarnya lagi.
Selain itu jelas beliau, persoalan bagaimana UMNO akan terus relevan,
bukan hanya sebagai parti yang memperjuangkan orang Melayu tetapi dalam
masa yang sama memimpin bangsa yang lain juga akan turut
diperbincangkan secara serius.
“Yang berada di hadapan kita seolah-olah ada pihak yang beria-ia mahu
menumbangkan kerajaan sedia ada dengan melemparkan pelbagai fitnah.
“Jadi kita harus bincangkan bagaimana nak jadikan UMNO bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi kepada semua masyarakat.
“Dengan ini, UMNO tidak akan ketandusan cendiakawan dan pelapis yang
bakal menjaga parti dengan baik demi anak cucu kita,” terang beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment