Tuesday, September 22, 2015
100% Sokong Ni..... Sekolah Satu Aliran Untuk Masa Depan Malaysia - Wahid Omar
Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang membenarkan berbagai
aliran dalam sistem pendidikan wajibnya bermula dari sekolah rendah
hingga ke peringkat tertinggi.
Dari segi ideanya sekolah berbagai aliran ini menyebabkan wujudnya
jurang apabila penduduk Buimiputera memilih sekolah kebangsaan, kaum
Cina memilih SJKC dan kaum Tamil memilih SJKT.
Ia belum campur sekolah persendirian dan aliran agama, yang akhirnya
menyebabkan anak-anak remaja di Malaysia membesar tanpa mengenali adat
dan budaya kaum lain.
menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar
berkata, sistem sekolah satu aliran merupakan antara usaha yang perlu
diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai
kaum dapat mengenali antara satu sama lain.
Katanya, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula di peringkat
sekolah rendah dan murid daripada pelbagai kaum seharusnya ditempatkan
di bawah sistem atau aliran persekolahan yang sama, bagi menjamin
pertumbuhan ekonomi negara melalui perpaduan kaum.
“Saya ada dua anak perempuan seorang tahun enam dan seorang lagi tahun
lima. Salah satu sebab mengapa saya hantar kedua-dua mereka ke sekolah
kebangsaan adalah supaya mereka dapat mengenali orang (kaum) lain.
“Ia merupakan sekolah yang baik terletak di Putrajaya, tetapi malangnya
tiada kepelbagaian kaum di sekolah tersebut. Terdapat juga murid
daripada kaum India di sekolah itu, tetapi tiada daripada kaum Cina.
Keadaan itu bukanlah sesuatu yang perlu diamalkan di negara ini,”
katanya ketika menjadi ahli panel sempena Laporan Terkini Ekonomi
Malaysia anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di
sini hari ini.
Turut menjadi ahli panel ialah Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr.
Zeti Akhtar Aziz; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk
Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri
Idris Jala.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif
Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang turut hadir pada sesi
perbincangan tersebut. Tony bertanya bagaimana prospek Malaysia untuk
mencapai pertumbuhan ekonomi di sebalik isu perkauman yang sering
dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.
Dalam pada itu Abdul Wahid berkata, usaha membawa pulang hasil pelaburan
syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di negara asing untuk dilaburkan
di negara ini adalah sesuatu yang baik bagi merancakkan kembali
pelaburan domestik.
Katanya, sehingga Jun 2015, jumlah pelaburan bersih syarikat tempatan ke
luar negara bernilai lebih RM500 bilion mengatasi pelaburan langsung
asing di negara ini yang berjumlah RM477 bilion.
“Itu menandakan syarikat-syarikat Malaysia kini sudah menjadi jaguh
dunia seperti Petronas, Kumpulan Sunway dan AirAsia. Selama ini kita
mengalakkan mereka ke pasaran asing memandangkan pasaran domestik yang
tidak begitu besar,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment