Friday, September 25, 2015
Najib Mulakan Lawatan Kerja Di New York
Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di New York,
Amerika Syarikat (AS) lewat petang semalam untuk memulakan lawatan kerja
selama lapan hari ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sempena
Perhimpunan Agung PBB yang dijangka membincangkan dan memperakukan
agenda baharu global ketika badan dunia itu menyambut ulang tahun
penubuhannya yang ke-70.
Perdana Menteri menyertai lebih daripada 170 orang ketua negara dan
kerajaan negara-negara dunia yang bakal berada di kota New York ini bagi
memperkukuhkan PBB serta membincangkan isu-isu antarabangsa dan cabaran
sejagat menjelang genap tujuh dekad penubuhan PBB pada 24 Oktober ini.
PBB ditubuhkan selepas kemusnahan akibat Perang Dunia Kedua pada 24
Oktober 1945, dengan Malaysia menyertai pertubuhan multilateral itu
secara rasmi pada 17 September 1957, kira-kira 17 hari selepas ia
mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun tersebut.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri Malaysia itu dan isterinya,
Datin Seri Rosmah Mansor mendarat pada pukul 6.30 petang (6.30 pagi
Khamis waktu Malaysia) di Lapangan Terbang Westchester County di sini.
Beliau yang sebelum itu singgah di London, United Kingdom untuk
lawatan kerja sehari bagi menghadiri perasmian projek bangunan PNB
House milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) disambut di hotel
penginapannya di Hotel Mandarin Oriental di sini oleh Menteri Luar,
Datuk Seri Anifah Aman; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk
Seri Awang Adek Hussin; Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ramlan
Ibrahim serta para pegawai Malaysia.
Antara para pemimpin dunia yang dijangka hadir sama pada Perhimpunan
Agung PBB yang bermula minggu ini ialah Presiden AS, Barack Obama;
Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden China, Xi Jinping selain
ketua-ketua kerajaan dari banyak negara yang membawa harapan tinggi
untuk menjayakan usaha-usaha diplomatik, agenda pembangunan dan
kemanusiaan global selain terus mencari penyelesaian kepada konflik,
pertikaian dan huru-hara dalam detik-detik bersejarah PBB sejak
penubuhannya.
Dalam satu kenyataan menjelang Perhimpunan Agung PBB kali ini,
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata: “Sesi Perhimpunan Agung PBB
tahun ini dibuka pada saat-saat huru-hara dan harapan… Huru-hara, kerana
konflik semakin parah di banyak tempat, dan orang awam menjadi
mangsanya. Harapan, kerana bilangan pemimpin dunia yang hadir begitu
ramai di PBB di sini untuk mara dengan penyelesaian dan menerima agenda
pembangunan baharu dunia yang dicita-citakan.”
Najib dijadualkan turut berucap dalam beberapa sesi PBB termasuk pada
Perhimpunan Agung ke-70, mengambil bahagian dalam mesyuarat sidang
kemuncak Agenda Pembangunan Pasca 2015 dan mengadakan pertemuan
bilateral dengan para pemimpin antarabangsa.
Presiden AS, Obama akan turut berucap pada sidang kemuncak Agenda
Pembangunan Pasca 2015, suatu inisiatif PBB yang menetapkan
langkah-langkah khusus ke arah mencapai sasaran matlamat pembangunan
global membabitkan proses rundingan dengan 193 negara-negara anggota
PBB.
Para pemimpin dunia akan mengupas cadangan-cadangan PBB untuk
menerima 17 matlamat baharu pembangunan sejagat, dengan 169 sasaran
untuk membasmi kemiskinan, membanteras ketidaksamaan dan memerangi
perubahan iklim dalam tempoh 15 tahun akan datang.
Daripada sekadar 51 anggota pada awal penubuhannya pada tahun 1945,
PBB kini mempunyai keahlian sebanyak 193 negara termasuk Palestin yang
mendapat status pemerhati tetap dan sebuah lagi pemerhati tetap,
Vatican, kota suci penganut Kristian Katolik yang kehadiran pemimpin
spiritualnya, Pope Francis pada Perhimpunan Agung PBB mendapat laporan
besar-besaran daripada media Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, satu laporan PBB minggu ini menyebut bahawa kegagalan
untuk menghindar konflik berdarah di serata dunia telah mencetuskan isu
kemanusiaan dan keselamatan global, terutama lambakan kira-kira 60 juta
pelarian di seluruh pelosok dunia, dengan Syria dan Yemen menjadi antara
negara terbaru yang terpalit dalam masalah tersebut.
Diplomat-diplomat Malaysia percaya kehadiran Najib dalam beberapa
mesyuarat peringkat tinggi PBB dalam tempoh seminggu ini di New York
akan memberi arah tuju signifikan kepada bentuk pandangan yang bakal
diutarakan olehnya ketika beliau berucap pada Perhimpunan Agung di ibu
pejabat PBB pada hari Khamis, 1 Oktober ini.
Tambahan pula, di bawah pentadbiran Najib, Malaysia kini memainkan
peranan yang lebih mendalam dan berpengaruh dalam badan dunia itu selaku
anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, iaitu kerusi yang akan
dipegangnya sehingga akhir tahun 2016.
Majlis Keselamatan PBB mempunyai 15 anggota terdiri daripada lima
anggota tetap dengan kuasa veto (AS, Rusia, China, United Kingdom dan
Perancis) dan 10 anggota tidak tetap yang dipilih melalui pengundian.
Selain Malaysia, antara negara anggota tidak tetap Majlis
Keselamatan PBB ialah Angola, Chad, Chile, Jordan, Lithuania, New
Zealand, Nigeria, Sepanyol dan Venezuela.
Ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB tahun 2010, Najib
memperkatakan tentang pentingnya Gerakan Kesederhanaan Global dimulakan
untuk menyelamatkan dunia daripada terjerumus ke dalam situasi putus
asa dan kerosakan.
Tiga tahun kemudian pada 2013 dalam ucapannya di pentas PBB, Najib
menyentuh tentang bahaya perbalahan dalaman dan pertembungan antara
mazhab di negara-negara Islam dalam mencorakkan kebangkitan Arab Spring
yang kesannya amat besar kepada keselamatan serantau.
Pada tahun lalu Perdana Menteri secara terang-terangan di PBB menyeru
umat Islam supaya menolak pertubuhan pengganas Islamic State yang
bergerak di Syria dan Iraq. Katanya, dengan kekejamannya kumpulan
pengganas tersebut mengkhianati prinsip-prinsip murni Islam.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment