Thursday, September 24, 2015

Perutusan YAB Perdana Menteri Sempena Hari Raya Aidiladha 1436H/2015

PERUTUSAN YAB PERDANA MENTERI
SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA 1436H/2015

YAB PM NAJIB RAZAK

23 September 2015
http://www.mykmu.net/wp-content/uploads/2015/05/najib-razak-new-280x186.jpg
Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd

1. Alhamdulillah segala lafaz puji dan syukur hanya terserah pada Allah, penguasa langit dan bumi, pemilik alam semesta serta pusat ketundukan rasa kehambaan sekalian makhluk-Nya. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

2. Pada hari yang mulia ini, jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berhimpun di Padang Arafah bagi menyempurnakan ibadah Haji dan yang lain bertebaran di seantero dunia meraikan Hari Raya Aidiladha.

3. Kehadiran Aidiladha menuntut kita menghayati natijah dari sebalik ritual ibadah korban semata-mata. Muhasabah untuk kita menilai kehidupan kita, sejauh mana kita menghayati hari yang agung ini dan menjadikannya iktibar dalam kehidupan kita?

4. Sayugia diingatkan, dunia Islam melihat Malaysia sebagai istimewa dan merupakan model terbaik pembangunan sebuah negara Islam. Justeru, marilah kita bersatu padu dan memelihara perpaduan masyarakat berbilang bangsa negara ini bagi menjamin kestabilan negara.

5. Islam mengajar kita erti keamanan, perpaduan dan kesaksamaan. Umat Islam diseru untuk menghormati agama lain untuk mewujudkan keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara.
 
6. Mengambil semangat tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, iaitu Sehati Sejiwa, umat Islam semestinya bersedia berkorban, bersepakat dan menyatakan kesepaduan terutama dalam soal akidah, syariah dan akhlak. Jangan sesekali bekerjasama dengan pihak yang ingin menjadikan kita sebagai jambatan untuk mencapai hajat dan matlamat mereka, sehingga memporak-perandakan negara.

7. Sikap berpuak akan hanya melemahkan perpaduan umat Islam dan boleh menggadai kuasa dan maruah yang ada. Kita juga mesti bersikap sederhana dalam segala hal dan tidak melampaui batas sebagaimana digariskan ajaran Islam.

8. Demi Islam dan masa depan ummah, sudah sampai masanya untuk kita bersatu dan berganding bahu tanpa mengira fahaman politik bersama-sama mempertahankan keamanan dan Perlembagaan Negara yang cuba dicabar oleh pihak tertentu.

9. Saya juga merakamkan salam takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan insiden menyayat hati kren tumbang di Masjidil Haram. Semoga seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan kesabaran atas ujian yang menimpa. Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran.

10. Sama-sama kita berusaha menzahirkan erti pengorbanan dalam setiap tindak-tanduk harian menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya dalam memenuhi tuntutan iman dan takwa yang kita akui.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd

Sekian, wabillahittaufik wal hidayah wassalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment