Tuesday, September 22, 2015
Lembaga Disiplin Perlu Segera Pecat Saifuddin Dari UMNO
Datuk Saifuddin Abdullah mengakui bahawa beliau hadir dalam program
perasmian gabungan pembangkang baharu iaitu Pakatan Harapan. Namun
beliau menegaskan yang kehadiran beliau ke sidang meja bulat tersebut
atas kapasiti sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Akademi Belia.
Siapa yang cuba diperbodohkan oleh Saifuddin sebenarnya? Umum mengetahui
bahawa hanya NGO yang menyokong pembangkang sahaja akan hadir dalam
program besar pakatan pembangkang.
Agak mustahil bagi NGO yang pro kerajaan menghadiri detik-detik penting
pakatan pembangkang memandangkan visi utama mereka adalah menumbangkan
kerajaan Barisan Nasional.
Adakah Saifuddin cuba memberitahu kita bahawa beliau mewakili NGO yang menyokong pembangkang?Kami menunggu jawapan dari beliau.
Dengan itu kami menggesa agar Lembaga Disiplin UMNO memecat Saifuddin
dengan kadar segera. Semua gunting dalam lipatan perlu disingkirkan.
UMNO tidak perlu lagi mendukung biawak hidup. Ini masa untuk UMNO
bergerak maju kehadapan bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negara
dapat dicapai dan dipertahankan.
Sebelum ini Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan mengatakan,
mana-mana pihak tidak sepatutnya membuat kesimpulan sendiri sementara
menunggu laporan penuh siasatan berkenaan Saifuddin Abdullah yang
menghadiri program perasmian gabungan pembangkang baharu, Pakatan
Harapan.
“Kami akan siasat hal itu sebelum ambil tindakan,” kata Tengku Adnan
Saifuddin menggunakan alasan hadir ke program pelancaran Pakatan
Harapan, kononnya atas kapasiti sebagai ketua pegawai eksekutif Yayasan
Gerakan Kesederhanaan Global (GMM). Manakala Ku Nan, pula tidak
menyatakan sama ada tindakan Saifuddin itu melanggar disiplin parti
walaupun hadir bukan atas kapasiti sebagai seorang ahli Umno.
Tiga parti pembangkang terdiri daripada PKR, DAP dan parti baharu
serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah), secara rasmi membentuk
Pakatan Harapan selepas Pakatan Rakyat berkubur dalam usaha mereka
menghancurkan UMNO dan Barisan Nasional.
Oleh itu, tindakan Saifuddin tersebut dilihat sebagai satu tindakan yang
mengkhianati parti. Sebelum ini beliau juga lantang lantang mengkritik
pemerintah Barisan Nasional. Berdasarkan logik akal maka sewajarnya lah
pihak Lembaga Disiplin UMNO memecat Saifuddin dari parti.
Kita akan dapat lihat dengan lebih jelas wajah sebenar Saifuddin apabila
beliau dipecat dari UMNO. Sebagaimana yang kita dapat lihat perjuangan
rapuh Tan Seri Muhammad Bin Muhammad Taib yang melompat dari satu parti
ke parti yang lain dan tercari-cari siapa yang mampu menjaga kepentingan
peribadi mereka.
Sudah sampai masanya UMNO membersihkan parti dari parasit yang sentiasa
merosakkan UMNO dari dalam.Langkah ini dilihat wajar bagi memastikan
kesinambungan UMNO sebagai tonggak Barisan Nasional yang menjaga
kepentingan orang Melayu dan agama Islam dalam negara kita.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment