Friday, September 25, 2015
BN Perlu Segera Bina Kekuatan Dalaman Sebagai Persiapan Hadapi PRU – Mustapa
JELI : Barisan Nasional (BN) perlu segera membina kekuatan
bagi membela nasib rakyat dan untuk menghadapi pilihan raya umum kelak, kata Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata perpecahan dalam PAS selain parti itu tidak menyertai
Pakatan Harapan memberi kesan kepada senario politik negara dan BN perlu
mengambil peluang untuk membina kekuatan dalamannya.
“Kita bukan bergantung kepada mereka (pakatan pembangkang) kita
bergantung kepada kekuatan dalaman kita tetapi ini masanya kita mengubah
strategi kita untuk memperkukuhkan kedudukan BN peringkat negeri dan
nasional,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka beliau
bersempena Hari Raya Aidiladha di sini, hari ini.
Mustapa diminta mengulas kesepakatan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara
(Amanah) yang dalam proses didaftarkan, untuk menubuhkan sebuah pakatan
baharu yang dinamakan Pakatan Harapan pada 22 Sept lepas, tanpa penyertaan PAS.
Beliau berkata senario politik negara telah berubah dengan berlakunya
perpecahan dalam PAS sehingga lahirnya Parti Amanah Negara yang dalam
proses didaftarkan serta keputusan PAS untuk tidak menyertai Pakatan
Harapan itu.
Beliau berkata perpecahan dalam pakatan pembangkang itu sudah lama
dijangka berikutan berlaku perbezaan pendapat yang besar antara PAS dan
DAP sehingga PAS banyak bertolak ansur.
Kata Mustapa, walaupun pakatan pembangkang dilihat lemah kesan
daripada keputusan PAS tidak menyertai Pakatan Harapan itu, UMNO dan BN
tidak boleh leka daripada terus membina kekuatan membela nasib rakyat
dan menghadapi pilihan raya umum.
Sementara itu, beliau meminta kerajaan negeri Kelantan memperjelaskan
kepada rakyat isu berkaitan pembinaan lebuh raya rakyat, projek ladang
rakyat dan pembalakan.
Katanya berkata rakyat ingin tahu perkembangan pembinaan lebuh raya
rakyat dari Kota Baharu-Kuala Krai yang dikatakan akan diserahkan
pelaksanaannya kepada kerajaan persekutuan berikutan kerajaan negeri
tidak mampu dari segi kewangan.
Beliau berkata rakyat juga ingin tahu sejauh mana kejayaan projek ladang rakyat yang dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan rakyat di negeri ini
dan begitu juga dengan pembalakan yang didakwa berlaku rasuah.
Pada majlis itu, Mustapa turut diraikan bersempena ulang tahun ke-65 kelahirannya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment