Wednesday, September 23, 2015
Umat Islam Harus Bersatu Menentang Pihak Yang Mahu Hancurkan Malaysia.. - Perdana Menteri
PERUTUSAN YAB PERDANA MENTERI
SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA 1436H/2015
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd
1. Alhamdulillah segala lafaz puji dan syukur hanya terserah pada Allah,
penguasa langit dan bumi, pemilik alam semesta serta pusat ketundukan
rasa kehambaan sekalian makhluk-Nya. Selawat dan salam buat junjungan
besar Nabi Muhammad S.A.W.
2. Pada hari yang mulia ini, jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk
dunia berhimpun di Padang Arafah bagi menyempurnakan ibadah Haji dan
yang lain bertebaran di seantero dunia meraikan Hari Raya Aidiladha.
3. Kehadiran Aidiladha menuntut kita menghayati natijah dari sebalik
ritual ibadah korban semata-mata. Muhasabah untuk kita menilai kehidupan
kita, sejauh mana kita menghayati hari yang agung ini dan menjadikannya
iktibar dalam kehidupan kita?
4. Sayugia diingatkan, dunia Islam melihat Malaysia sebagai istimewa dan
merupakan model terbaik pembangunan sebuah negara Islam. Justeru,
marilah kita bersatu padu dan memelihara perpaduan masyarakat berbilang
bangsa negara ini bagi menjamin kestabilan negara.
5. Islam mengajar kita erti keamanan, perpaduan dan kesaksamaan. Umat
Islam diseru untuk menghormati agama lain untuk mewujudkan keharmonian
hidup bermasyarakat dan bernegara.
6. Mengambil semangat tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun
ini, iaitu Sehati Sejiwa, umat Islam semestinya bersedia berkorban,
bersepakat dan menyatakan kesepaduan terutama dalam soal akidah, syariah
dan akhlak. Jangan sesekali bekerjasama dengan pihak yang ingin
menjadikan kita sebagai jambatan untuk mencapai hajat dan matlamat
mereka, sehingga memporak-perandakan negara.
7. Sikap berpuak akan hanya melemahkan perpaduan umat Islam dan boleh
menggadai kuasa dan maruah yang ada. Kita juga mesti bersikap sederhana
dalam segala hal dan tidak melampaui batas sebagaimana digariskan ajaran
Islam.
8. Demi Islam dan masa depan ummah, sudah sampai masanya untuk kita
bersatu dan berganding bahu tanpa mengira fahaman politik bersama-sama
mempertahankan keamanan dan Perlembagaan Negara yang cuba dicabar oleh
pihak tertentu.
9. Saya juga merakamkan salam takziah kepada keluarga mangsa yang
terlibat dengan insiden menyayat hati kren tumbang di Masjidil Haram.
Semoga seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan kesabaran atas ujian
yang menimpa. Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran.
10. Sama-sama kita berusaha menzahirkan erti pengorbanan dalam setiap
tindak-tanduk harian menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya dalam memenuhi
tuntutan iman dan takwa yang kita akui.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd
Sekian, wabillahittaufik wal hidayah wassalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment