Friday, September 25, 2015
PAS Lawan Amanah : Menang Jadi Abu, Kalah Jadi Arang
Tinggal kira-kira 100 hari sahaja lagi bagi Parti Amanah Negara (Amanah)
membuktikan kemampuannya mendaftarkan 69,982 ahli baru dan justeru
menjadi pesaing politik yang patut disegani kawan dan lawan.
Pada hari pelancaran Amanah 16 September lalu, Setiausaha Agungnya,
Anuar Tahir mengumumkan ahli berdaftarnya ialah 30,018 orang. Dan,
sebagai parti alternatif Islam, Amanah yakin mencecah pendaftaran
100,000 hujung tahun ini.
Sasaran utama Amanah adalah pengundi muslim. Profil mereka tentu tidak
jauh berbeza dengan yang disasarkan oleh PAS. Malah tanpa silu golongan
yang cuba dipujuk oleh Amanah ialah ahli-ahli PAS sendiri.
Sebaliknya, PAS sebagai “saudara tua” dalam jemaah Islam di Malaysia,
memberi amaran pada Amanah jangan cuba “menggoda” ahli-ahlinya.
Malah PAS juga tidak kurang tinggi keyakinannya dan mendakwa bahawa
sejak kemunculan Amanah, ia kini berhasil akan “memancing” lebih ramai
muslim menganggotai PAS.
Melangkau soal perangkaan, sayembara politik di antara PAS dengan Amanah
ini akan berlegar di sekitar penafsiran dan penterjemahan tiga konsep
utama bagi “meminang” kepercayaan rakyat muslim di Malaysia.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu, melontarkan istilah takfiri atau ideologi
yang cenderung melabel hingga mengkafirkan orang lain yang dikaitkan
dengan amalan PAS kini.
Jika bersilang pendapat dengan pimpinan, maka individu atau golongan
berkenaan dianggap tidak sesuai menyertai PAS. Beliau menyindir bahawa
ideologi takfiri yang menjadi punca beliau dan kawan-kawan menubuhkan
Amanah.
“Ketaksuban golongan takfiri ini sememang tidak langsung menunjukkan
bahawa mereka memahami anjuran Islam untuk meraikan dan mengurus
ikhtilaf atau perbezaan.
“Bagi mereka, keluar dari jalur pemikiran dan ketaatan kepada kepimpinan
organisasi mereka, adalah sama seperti keluar dari agama Islam.
“Semua entiti dan organisasi takfiri mempunyai ciri-ciri utama ini, walau apapun nama dan label mereka,” kata Mat Sabu.
Beliau berkata, secara khususnya perang saudara telah berlaku di negara
umat Islam seperti Iraq, Libya dan Somalia mengakibatkan di Syria sahaja
lebih 6.5 juta pelarian melimpah seluruh dunia.
Katanya, ini adalah lambang bencana takfiriyah yang sangat mudah
menghukum individu lain yang tidak sehaluan sebagai kafir dan munafik
hingga mencetuskan pertumpahan darah.
Di sinilah, kata Mat Sabu, Amanah tegas menolak segala rupa bentuk dan
pelbagai penampilan ideologi takfiri kerana ia jelas memusnahkan
kemurniaan dan kesucian Islam.
Di segi politik, Amanah mempertaruhkan kempen penyebaran makna dan kesan
takfiriyah untuk menyapa minat muslimin Malaysia mendekati dan
menyokong Amanah.
Bagaimanapun, presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, nampaknya
sudah dapat membaca “tekanan” yang bakal dihadapi oleh PAS jika ia
“berpatah arang dan berkerat rotan” dengan Mat Sabu dan kawan-kawannya.
Lantaran itu, beliau memperkenalkan dua istilah untuk mempersiapkan PAS
melayan terjahan dan cabaran kumpulan yang akan menggunakan ideologi
takfiriyah untuk memomokkan parti PAS yang dipimpinnya.
Hadi melontarkan istilah tasahul dan tasyaddud yang beliau kaitkan
dengan rancangan besar musuh-musuh Islam untuk mengekang kebangkitan
perjuangan Islam di seluruh dunia.
Kata Hadi, jarum hasutan disuntik di dalam pemikiran pejuang-pejuang
Islam yang boleh disifatkan sebagai mangsa fahaman sekularisme yang cuba
memisahkan tuntutan agama dengan kemodenan.
“Kalangan yang berjuang secara tasahul ingin menceduk setiap
perkembangan di luar Malaysia seperti revolusi Islam Iran, AKP di Turki,
Ikhwan Hizbu al Nadhah di negara Arab tanpa melihat perbezaan waqie’
(realiti) di bumi tempat kita berpijak.
“Sedangkan kita di tanahair ini telah jauh bergerak dalam matlamat
memurnikan aqidah dan amalan masyarakat Islam ke jalan yang tulen
berbanding suasana masyarakat di tempat rakan-rakan kita di luar sana,”
kata Hadi.
Beliau berkata, walau pergerakan atau jamaah luar Malaysia ini adalah
rakan-rakan seperjuangan PAS tetapi mereka bergerak di bumi dan waqie’
yang berbeza pula.
“Manakala dari kalangan yang kedua iaitu bertasyaddud, iaitu mahu
melaksanakan Islam dalam sekelip mata, atau menang secara cepat tanpa
pilihanraya seperti Taliban, al Qaedah dan Isis atau DAAISH.
“Kumpulan ini juga melibatkan kalangan ulama dan ilmuan yang bersemangat
Islam tetapi tidak feqah dalam harakah Islamiyyah dan perlu dinasihati
dan dibimbing,” kata Hadi.
Yang pasti cabaran selanjutnya bagi PAS dan Amanah ialah bagaimanakah
penerangan, penghuraian dan pemujukan hendak dibuat supaya ia berkesan
memenangi sokongan pengundi muslim.
Mampukah Amanah melekatkan persepsi bahawa PAS mabuk dirasuk ideologi
takfiriyyah dan mungkinkah PAS pula berhasil mendedahkan penyakit
tasahul dan tasyaddud dalam jalur perjuangan Amanah?
Bagi Amanah ukuran kejayaannya mungkin dapat dilihat dalam tempoh 100
hari apabila ia berjaya mendaftarkan 100,000 ahli seperti yang telah
diisytiharkannya sendiri.
Bagaimanapun bagi PAS pula, ia mungkin memerlukan masa agak lebih
panjang dari itu. Ini kerana Amanah berasa dalam posisi yang agak
selesa. Kempennya ialah menerangkan rasional di sebalik kelahiran parti
itu.
Ini memberinya peluang untuk membuktikan, menyindir, dan menuduh betapa PAS kini dijangkiti penyakit takfiri.
PAS pula perlu bekerja lebih gigih. Ia perlu memerhati dan menonjolkan
dalil sikap gopoh atau tasyaddud Amanah serta betapa parti itu “rabun”
visinya yang mudah diuja pengalaman dan model gerakan Islam luar negara
yang dipalit ideologi tasahul.
Amanah merancang denai politiknya dengan agak mudah kerana memang sudah
menghabiskan berpuluh tahun dengan PAS untuk mengumpulkan pelbagai
anekdot yang boleh membuktikan takfiriyyah wujud dan menjalar dalam PAS.
Namun PAS juga berpeluang untuk mengutip bukti dan contoh kegopohan dan
“jiwa kecil” pemimpin-pemimpin Amanah yang nyata tidak istiqamah dalam
perjuangan ketika mereka menjadi ahli PAS.
Namun alangkah baiknya jika pemimpin dan pengikut kedua-dua parti itu
mempercayai apa yang disebutkan Haji Hadi sendiri dalam ucapan pembukaan
Muktamar PAS ke-61 kira-kira lebih sedikit 100 hari lalu:
“Sebenarnya tidak ada pemisahan di antara ulama dan profesional dalam
bahtera PAS. Apa yang berlaku adalah kita berdepan dengan tempias
sekularisme yang diwujudkan untuk menghalang kebangkitan Islam, yang
cuba membolos ke dalam saf gerakan Islam.”
Selagi dua entiti politik Islam ini saling mencari-cari perbedaan dan
enggan hinggap pada dahan persamaan selagi itulah umat Islam di negara
ini akan menari mengikut rentak musuh-musuh Islam.
Tidak guna perjuangan yang dilakukan atas nama Allah jika pihak manapun
“yang menang akan menjadi abu dan yang kalah menjadi arang.”
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment