Thursday, September 24, 2015
Mesej PM Sempena Aidiladha... Bersatu Pertahankan Perlembagaan Negara
Ini mesej khas Perdana Menteri kepada umat Islam di negara ini sempena
Hari Raya Aidiladha, Khamis.... mesej beliau terang dan jelas iaitu
mingingatkan sudah tiba masanya umat Islam di negara ini bersatu dan
berganding bahu tanpa mengira fahaman politik demi Islam dan masa depan
ummah.
Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata berkata mereka perlu
bersama-sama mempertahankan keamanan dan Perlembagaan Negara, yang cuba
dicabar oleh pihak tertentu.
Sikap berpuak-puak, katanya akan hanya melemahkan perpaduan umat Islam dan boleh menggadai kuasa dan maruah yang ada.
"Kita juga mesti bersikap sederhana dalam segala hal dan tidak melampaui batas sebagaimana digariskan ajaran Islam," katanya.
Perutusan Perdana Menteri disiarkan melalui blognya, NajibRazak.Com, di Facebook dan akaun Twitternya, Rabu.
Dengan mengambil semangat tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun
ini, iaitu 'Sehati Sejiwa', beliau berkata umat Islam hendaklah bersedia
berkorban, bersepakat dan menyatakan kesepaduan terutama dalam soal
akidah, syariah dan akhlak.
"Jangan sesekali bekerjasama dengan pihak yang ingin menjadikan kita
sebagai jambatan untuk mencapai hajat dan matlamat mereka, sehingga
memporak-perandakan negara," katanya.
Najib berkata dunia Islam melihat Malaysia sebagai istimewa dan model
terbaik pembangunan sebuah negara Islam, oleh itu umat Islam harus
bersatu padu dan memelihara perpaduan masyarakat berbilang bangsa di
negara ini bagi menjamin kestabilannya.
Islam mengajar erti keamanan, perpaduan dan kesaksamaan dan sehubungan
ini umat Islam hendaklah menghormati agama lain untuk mewujudkan
keharmonian hidup bermasyarakat dan bernegara, katanya.
Dalam perutusan tersebut, beliau turut merakam ucapan takziah kepada
keluarga mangsa yang terlibat dengan insiden menyayat hati kren tumbang
di Masjidil Haram.
"Semoga seluruh ahli keluarga diberi kekuatan dan kesabaran atas ujian
yang menimpa. Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran,"
katanya.
Sempena Hari Raya Aidiladha, Najib meminta umat Islam di negara ini
menghayati hari yang agung itu dan menjadikannya iktibar dalam
kehidupan.
"Sama-samalah kita berusaha menzahirkan erti pengorbanan dalam setiap
tindak tanduk harian menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya dalam memenuhi
tuntutan iman dan takwa yang kita akui," katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment