Tuesday, September 22, 2015

Ini Sebab PAS Tidak Minat Sertai Pakatan 2.0...

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu PKR masih adalah rakan tahaluf PAS di dalam Pakatan Rakyat sebagaimana yang telah ditegaskan dalam Muktamar PAS Jun lalu.

Menurutnya, dalam masa yang sama, tiada kerjasama antara PAS dengan DAP mahupun PAN.

"PAS menghargai jemputan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali ke meja bulat pembangkang, namun PAS memilih untuk tidak menghadirinya dan akan menumpukan sepenuh tenaga menguatkan jentera parti dari segala sudut terlebih dahulu sebagai persiapan PRU14.

"Perjumpaan antara PAS dan PKR akan diadakan dari semasa ke semasa dan sentiasa menilai apa jua isu antara kedua parti sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Presiden PAS," katanya.

Bagi Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan pula pendirian teguh Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak untuk menyertai Pakatan Rakyat (PR 2.0) merupakan keputusan yang tepat dan pintar.

Jelasnya ketegasan itu memberi gambaran bahawa PAS mempunyai matlamat tersendiri dalam menjamin masa depan parti itu daripada terjerumus ke dalam situasi yang keliru dan terumbang-ambing.

"PAS tidak berminat untuk menyertai PR 2.0 yang belum tentu wujud dan usaha mewujudkannya juga masih kabur sedang PRU 14 semakin hampir, PR versi asal masih utuh cuma perlu diperkukuh dengan lebih efektif," katanya dalam satu kenyataan media Isnin.

Nasrudin menegaskan komitmen PAS masih dalam PR kerana yang terputus hanya tahaluf dengan DAP dan bukannya dengan PR yang masih mempunyai dua komponen tahaluf iaitu PAS dan PKR.

Sementara itu, PR 2.0 tidak akan membawa apa makna tanpa kehadiran PAS dalam gabungan baru parti pembangkang itu, demikian telahan penganalisis politik Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) itu berkata, tanpa PAS PR 2.0 akan menjadi sekadare satu perhimpunan antara DAP, PKR dan Parti Amanah.

"Saya melihat kalau tanpa penyertaan PAS perbincangan ini tidak akan membawa apa-apa makna, kerana ia hanya sekadar menjadi perhimpunan antara DAP, PKR dan Parti Amanah.

“Semua orang tahu bahawa PKR, DAP dan Amanah memang telah pun bekerjasama. Mereka memang berusaha untuk membentuk satu pakatan walaupun PKR cuba berusaha untuk meneruskan hubungan dengan PAS.

"Dalam konteks penyertaan PAS dalam PR 2.0 bergantung kepada dua keadaan, satu bagaimana dengan hubungan PAS-DAP dapat dipulihkan dan kedua lebih sukar antara hubungan PAS-Amanah kerana PAS melihat Amanah adalah serpihan daripada PAS" katanya.

Justeru situasi krisis dalaman antara PAS-DAP-PKR-PAN meninggalkan satu tanda tanya, bolehkah PAS duduk semeja dengan DAP-Amanah yang secara terang-terangan tidak mahu berbincang dengan parti Islam berkenaan.

"Saya fikir PAS tidak akan turut serta selagi PAN ada di situ dan selagi isu dengan DAP tidak selesai."

"Pada saya bolehkah mereka bekerjasama dengan PAS diketika PAS menghadapai masalah dengan dua lagi parti yang ada dalam pakatan baru ini. Kerana kita tahu bahawa PAN akan gantikan PAS. Jadi sebab itu saya fikir meja bulat ini tidak akan bawa apa-apa makna melainkan hanya untuk mengesahkan PAN mengambil alih tempat PAS."

Dalam perkembangan berkaitan, beliau terus menolak dakwaan sama ada PKR terhimpit dengan kemelut berkenaan yang disifatkan beliau sebagai survival PKR bagi terus memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri Selangor.

"PKR tidak tersepit sebetulnya. PKR lebih memikirkan bagaimana hendak pertahankan Selangor sebab itu PAS penting kerana Selangor. Kalau PKR boleh memerintah Selangor dengan hanya bekerjasama dengan DAP, maka sudah pasti mereka akan ambil pendirian yang sama terhadap PAS."

"Tetapi di Selangor pertaruhannya adalah amat besar sebab itu mereka tidak bersedia untuk mengenepikan PAS kerana penting untuk kestabilan kerajaan Selangor,” tambahnya.

Mustafa berkata, dalam konteks yang lebih mendalam, PKR sememangnya tidak memerlukan PAS secara total kerana PAN menjanjikan alternatif yang lebih baik kepada PKR dan DAP.

"Dalam konteks yang lebih jauh (selain kerjasama dalam kerajaan Negeri Selangor) saya fikir PKR tidak begitu perlukan sangat PAS berbanding dahulu kerana mereka sudah ada Amanah.

“Soal sama ada Amanah ini boleh berjaya menarik sokongan PAS, itu perkara lain tetapi bagi mereka, PAN sudah cukup untuk membantu mereka cuma mereka bimbang keadaan sekarang ini sehingga PRU akan datang.”

PKR menerusi Presidennya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini menjemput Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu untuk menyertai persidangan meja bulat itu.

Ia untuk membincangkan perkara-perkara penting yang perlu dipersetujui bersama ke arah pembentukan sebuah pakatan pembangkang baru.

Bagaimanapun, PAS mengesahkan tidak akan hadir persidangan meja bulat bersama parti-parti pembangkang bagi membincangkan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0.

Ia disahkan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Nik Salleh. 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment