Tuesday, September 22, 2015
Kehadiran Mahfuz Sidang Meja Bulat Pakatan Baru Timbul Tanda Tanya
Entah di mana silapnya atau sememangnya mahu menunjukkan diri sebenarnya
sebagai duri dalam daging kepada PAS, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk
Mahfuz Omar muncul pada pertemuan sidang meja bulat bersama DAP, Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah bagi membentuk pakatan baharu, Selasa.
Kehadiran Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar timbulkan
persoalan lantaran bertentangan pendirian PAS.
Menurut Mahfuz, kehadirannya atas jemputan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Saya hadir sebagai jemputan…pemerhati. Saya datang atas kapasiti Ahli Parlimen Pokok Sena,” katanya.
Masalahnya, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pada Isnin
secara jelas menyatakan bahawa PAS tidak akan menghadiri persidangan
meja bulat itu kerana program itu diatur secara tergesa-gesa dan PAS
belum mengadakan perbincangan dalaman mengenainya.
“Persidangan dibuat sedikit tergesa-gesa, kita perlu berbincang terlebih
dahulu kerana wakil-wakil kita perlu membuat mandat parti.
“Kita sendiri belum melakukan perbincangan secara terperinci mengenai beberapa perkara termasuklah pendirian parti,” katanya.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengulangi pendirian PAS untuk tidak menyertai perbincangan meja bulat.
PAS menghargai jemputan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali ke meja bulat pembangkang,
namun PAS memilih untuk tidak menghadirinya.
“Bagaimanapun, PKR masih rakan tahaluf siyasi PAS dalam Pakatan Rakyat,” kata Tuan Ibrahim menerusi kenyataan, Selasa.
Sekaligus kehadiran Mahfuz yang walaupun mendakwa atas kapasiti sebagai
ahli parlimen, tetap boleh dipertikaikan lantaran beliau secara
terang-terangan membelakangkan kenyataan yang dibuat pemimpin parti yang
diwakilinya.
Malahan, kehadiran Mahfuz pada sidang meja bulat itu seolah-olah
menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan sebelum ini berhubung
kenapa beliau tidak keluar PAS bilamana Amanah mahu dibentuk sepertimana
dilakukan rakan-rakan beliau yang lain.
Jelasnya, wujud keperluan untuk PAS menilai sama ada parti itu perlu
menyimpan ahli yang terang-terangan berwatak bagai duri dalam daging.
Keadaan sama juga mungkin perlu dilakukan UMNO lantaran kehadiran bekas
Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Saifuddin Abdullah pada perbincangan
itu.
Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu memaklumkan bahawa beliau hadir atas kapasiti sebagai Pengerusi Akademi Belia.
Sidang meja bulat yang diadakan atas inisiatif Dr Wan Azizah turut
dihadiri Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Ketua Parlimen
DAP, Lim Kit Siang selain beberapa pimpinan NGO seperti Pengerusi Bersih
2.9, Maria Chin Abdullah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment