Tuesday, September 22, 2015
Bila Matlamat Menghalalkan Cara ....- Ridhuan Tee Abdullah
Di dalam politik, segala kemungkinan boleh berlaku. Kawan menjadi lawan.
Lawan menjadi kawan. Pendek kata, untuk mendapatkan kuasa, segalanya
boleh berlaku. Janganlah terlalu mempercayai. Baiah pun dipermainkan.
Inilah realiti politik, tidak kira di mana kita berada.
Terbaru, PKR telah mencuri beberapa pemimpin dan wakil rakyat Pas yang
berpengaruh bagi mengukuhkan kedudukan kuasa mereka. Aneh! bukankah
mereka lebih cenderung menyertai GHB atau PAN dari PKR sebelum ini?
Sama-sama saksikan kehadiran mereka memberi kredit atau sebaliknya kepad
PKR? Masalah dalaman PKR tidak kurang hebatnya.
Ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar Selangor,
ditendang keluar dari PKR, ada ura-ura mengatakan beliau mahu memilih
Pas sebagai wadah perjuangan. Pas cepat-cepat mengeluarkan kenyataan
menolak, hanya kerana mahu menjaga hati kawan, supaya tidak menjadi
lawan.
Tidak semena-mena, bila tiba giliran PKR, sudahlah tidak beritahu Pas,
malahan membuat kenyataan akhbar secara terang akan kemasukan kedua
tokoh tersebut dalam parti mereka. Lebih dahsyat, diumumkan bersekali
dengan jawatan penting dan strategik yang diberikan. Terdesak sangatkah?
Inilah politik rakus, apabila Islam tidak menjadi asas, matlamat
menghalalkan cara. Nampaknya, apa yang dinyatakan oleh Machiavelli,
lebih 500 tahun lalu menjadi kenyataan. Demi kuasa, manusia sanggup
lakukan apa jua cara, sekalipun terpaksa menikam rakan sendiri. Orang
agama juga tidak berkecuali. Saya dapat merasakannya.
Tidakkah mereka takut dengan syurga neraka? Bukankah perkara ini yang
menjadi buah mulut dan dijajakan ketika ceramah. Kenapa mudah sangat
kita bercakap tetapi tidak mengotakan?
Makna politik yang begitu suci, telah tercemar dan ternoda dengan
tangan-tangan jahat manusia. Inilah perkara yang perlu ditangani demi
mengembalikan semula kesucian politik itu.
Lebih pelik lagi ada yang berani mengeluarkan fatwa sendiri. Baiah yang
disumpahi, mahu dilanggar sesuka hati. Bila terkena batang hidung,
mereka pun berkata, serahkan pada ALLAH, syurga neraka bukan terletak di
tangan Pas. Sedapnya mulut!
Dahulu ketika mahu bertanding atas tiket Pas, kenapa tidak dibangkitkan
soal ini? Sekian lama kewujudan Pas, pimpinan silih berganti, baiah
terus disepakati.
Tiba-tiba apabila mereka mahu keluar daripada Pas, dengan mudah mahu
membatalkan baiah tersebut dengan hanya merujuk kepada seorang dua mufti
yang dirasakan memihak kepada mereka.
Apakah ulama yang selama ini berada dalam Pas, ilmunya tidak setanding
mufti pada hari ini? Apakah ilmu kalangan mereka yang masih hidup atau
telah pergi, tidak setanding mufti Perlis misalnya? Siapakah ulama siku
lutut? Saya masih tercari-cari.
Maka, benarlah kata Hans J. Morgenthau, apabila kebenaran mengancam
kuasa, kuasa mengancam kebenaran, truth threatens power, and power
threatens truth, maka segala cara akan dicari untuk menghalalkannya.
Inilah dilema Melayu. Mereka telah ditimpa masalah. Tetapi jalan keluar
masih tidak dicari. Terus menyalahkan orang lain, hasil masalah yang
dicipta sendiri.
Saya tidak nafikan orang lain turut menimbul dan memberikan masalah, seperti ultra kiasu.
Terbaru, gara-gara pilihan raya kampus, seorang pemimpin pelajar, 22
tahun, mengalami kecederaan selepas diserang menggunakan senjata tajam
dan disimbah cat, dalam kawasan kampus sendiri. Apa sudah jadi dengan
Melayu, kerana kuasa, sehingga dalam kampus pun mereka masih
‘tikam-menikam’.
Adakah troli yang disamak boleh mengembalikan kekuatan orang Melayu?
Perhimpunan Baju Merah 16 September 2015 adalah perhimpunan Melayu.
Seramai mana pun baju merah turun, sehingga menenggelamkan bandar raya
Kuala Lumpur, ia masih belum meyakinkan saya kekuatan Melayu yang
sebenar, kerana realitinya Melayu tidak kuat akibat perpecahan.
Jika sekadar mahu menunjukkan bilangan baju merah yang turun lebih ramai
daripada kuning, memang tidak ada masalah. Kerahkan mereka turun, bagi
bas dan sedikit habuan, melambak mereka turun. Apa yang kita dapat
selepas itu?
Apa guna merah kelihatan banyak jika tidak bersatu, berbanding kuning
yang lebih sedikit tetapi bersatu, realitinya? Kuning tidak akan takut
kepada merah selagi merah tidak bersatu.
Air mata saya mengalir membaca kata-kata Musli Oli dalam Facebooknya.
Saya hadir dua himpunan. Kuning dan Merah. Hasil pemerhatian, peserta
Kuning ramai kalangan anak muda elit dan golongan profesional minum di
Starbucks, makan di Subway dan Nandos.
Manakala peserta Merah ramai orang veteran parti yang sarapannya nasi
dagang, nasi lemak dan ubi rebus. Mereka telah berjuang sekian lama
pertahankan kerajaan tetapi cuma dapat tapak gerai untuk berniaga di
bulan Ramadan. Sedih tengok pakcik dan makcik terhincut-hincut berarak
dari PWTC. Saya merayu kepada pemimpin-pemimpin Melayu, perjuangkanlah
nasib mereka dengan ikhlas dan jujur kerana golongan ini sanggup
bergadai nyawa dan harta pertahankan kuasa kamu.
*Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
INSPIRE/PPI, UniSZA
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment