Sunday, November 22, 2015
Bahasa Malaysia Jadi Bahasa Penyatuan Seluruh Rakyat Sabah
KOTA KINABALU : Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh
Said Keruak menegaskan Bahasa Malaysia merupakan bahasa penyatuan rakyat
pelbagai kaum di Sabah dan menjadi bahasa lingua franca masyarakat
majmuk negeri ini sejak awal kemerdekaan.
Katanya bahasa berkenaan telah menjadi bahasa komunikasi rakyat serta
menjadi bertambah kukuh penggunaannya dan peranannya selepas era
penjajahan Inggeris.
Salleh berkata usaha memartabatkan Bahasa Malaysia diperkasa secara
berterusan melalui pelbagai program termasuk Bulan Bahasa Malaysia.
“Selepas mencapai kemerdekaan, Perdana Menteri pertama Tunku Abdul
Rahman memperkenalkan istilah “Bahasa Malaysia” sebagai bahasa
kebangsaan Malaysia.
Ia kemudian diguna secara meluas. Pada tahun 1986, istilah “Bahasa
Malaysia” diganti menjadi “Bahasa Melayu” berdasarkan Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Kemudian pada 4 Jun 2007, Kabinet Persekutuan membuat keputusan untuk
menggantikan penggunaan “Bahasa Melayu” menjadi “Bahasa Malaysia”.
Berikutan itu, Kabinet mengarahkan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”
dalam semua urusan surat-menyurat, catatan dan dokumen,” katannya dalam
blognya http://sskeruak.blogspot.com/.
Menurut Salleh pada 7 Mac 1972, Dewan Undangan Negeri Sabah memutuskan
agar semua urusan rasmi sama ada lisan atau tulisan dengan kementerian,
jabatan, pejabat atau agensi kerajaan, dilaksanakan dalam Bahasa
Malaysia.
Kemuncak kepada usaha memartabatkan Bahasa Malaysia di Sabah, kata
Salleh, ialah apabila pada 16 Sept 1973, Bahasa Malaysia diisytiharkan
sebagai bahasa rasmi oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu iaitu Tun Datu
Mustapha Datu Harun.
Katanya, empat tahun kemudian, iaitu pada 1 Jan 1977, Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) cawangan Sabah diwujudkan, yang menjadi pemangkin kepada
pemerkasaan Bahasa Malaysia di Sabah.
“Dari segi dasarnya, Sabah berada di jalan yang betul dalam
memartabatkan Bahasa Malaysia tanpa meminggirkan prinsip memperkukuhkan
bahasa Inggeris, seperti termaktub dalam dasar kerajaan Malaysia.
Baru-baru ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengumumkan
bahawa Bahasa Inggeris adalah bahasa perantaraan rasmi kerajaan Negeri
Sarawak selain Bahasa Malaysia.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment