Thursday, November 12, 2015

Khalid 'Tibai' Azmin Pasal Nak Naikkan Tarif Air

Rancangan kerajaan negeri Selangor untuk menaikkan tarif air selepas pengambilalihan empat syarikat konsesi air selesai dilihat tidak selari dengan perancangan awal penstrukturan semula industri air neger itu.

Menurut perancangan awal, kenaikan tarif hanya akan dipertimbangkan selepas tiga hingga empat tahun penstrukturan semula industri air Selangor dilaksanakan sepenuhnya manakala sebarang kenaikan tarif dijamin tidak akan melebihi 12 hingga 15 peratus setiap tiga tahun.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin banyak lagi usaha yang perlu dan boleh dilakukan sebelum kerajaan negeri mengambil langkah drastik itu yang akan menambahkan lagi beban kepada rakyat berikutan lonjakan kos sara hidup.

"Sebagai contoh, kerajaan negeri boleh mengelakkan pembaziran dan ketirisan dalam kos operasi dengan memotong perbelanjaan perbelanjaan yang tidak perlu, mengurangkan kontrak berlapis-lapis (multi-level contracts) dan menghentikan serta-merta penganugerahan sub-kontrak.

"Tambahan pula, sebagai pemilik mutlak, kerajaan negeri tidak perlu lagi mematuhi terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi atau mengikut kaedah operasi lama yang dipraktikan oleh syarikat konsesi.

"Sebaliknya, ia mempunyai kuasa menetapkan kaedah harga dan kos yang baharu di setiap peringkat operasi sebagai salah satu strategi kawalan kos keseluruhan, sekali gus mengurangkan malah menghapuskan keperluan menaikkan tarif," katanya pada Khamis.

Semalam, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor tetap akan menaikkan tarif air setelah proses pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air di negeri itu selesai.

Sehingga kini hanya Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH) masih dalam proses rundingan pengambilalihan, manakala proses bagi tiga syarikat yang terdiri daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Konsortium ABBAS Sdn. Bhd. (ABBAS) dan Puncak Niaga Holding Bhd. (PNHB) telah selesai.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri perlu faham secara mendalam segala butiran dalam akaun dan rekod kewangan pengendali perkhidmatan air, terutama dalam aspek perbelanjaan, memandangkan kini industri perkhidmatan air adalah milik rakyat Selangor.

"Dari situ, satu formula lestari boleh digarap bagi mengelakkan kenaikan tarif buat jangka masa panjang.

"Bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat terpelihara, saya menggesa agar satu badan pengawasan bebas industri air ditubuhkan dengan fungsi antara lain, memantau metodologi penetapan tarif dan mutu perkhidmatan di samping memastikan keabsahan justifikasi dan legitimasi keperluan menaikkan tarif seperti yang didakwa," tambah beliau.

Abdul Khalid berkata, meskipun kewajaran menaikkan tarif air tetap wujud, namun perkara itu perlu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor terlebih dahulu agar semua wakil rakyat faham dan jelas tentang isu-isu yang terlibat.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment