Monday, November 30, 2015
Tanda Tanya Mengenai Ucapan Penggulungan Timbalan Presiden UMNO Pula... Tengku Adnan Belum Dapat Bagi Kepastian
Setelah perubahan dibuat pada perasmian perhimpunan sayap Pemuda,Wanita
dan Puteri UMNO kali ini,timbul tandatanya apakah ucapan pengulungan
diakhir Perhimpunan Agung UMNO juga akan dipinda.
Selain ucapan dasar Presiden semasa merasmikan perhimpunan,sesi
pengulungan oleh Presiden,Timbalan Presiden,Ketua Pemuda,Wanita,Puteri
dan lain-lain dikira antara detik-detik yang dinanti semasa perhimpunan
itu.
Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru ini hanya membuat keputusan
mengenai perasmian perhimpunan sayap yang kini akan dirasmi oleh ketua
pergerakan masing-masing pada pagi 9 Disember tetapi belum sebut apa-apa
mengenai sesi pengulungan pada 12 Disember.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor setakat ini
belum dapat memberi sebarang kepastian lagi samaada ia akan berubah atau
tidak.
Beliau yang ditemui wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur pagi
Isnin menyerahkan kepada presiden dan anggota Majlis Tertinggi parti itu
untuk menentukan sama ada Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin
akan membuat ucapan penggulungan pada perhimpunan agung kali ini.
Bagaimanapun, beliau berkata tidak terdapat dalam perlembagaan parti
bahawa timbalan presiden perlu membuat ucapan penggulungan seperti
kelaziman sebelum ini.
"Seorang (presiden) sahaja pun sudah memadai...tapi terserahlah pada
presiden dan MT (Majlis Tertinggi)...saya hanya setiausaha agung
sahaja," katanya.
Secara tradisinya, sebelum presiden UMNO menggulung perbahasan pada hari
terakhir perhimpunan agung, barisan ketua-ketua sayap, naib presiden
dan timbalan presiden akan dibenarkan berucap pada sesi penggulungan
itu.
Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata tidak salah jika tradisi dalam
UMNO yang tidak terdapat dalam perlembagaan diubah, seperti juga
perubahan pada mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri yang akan
dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing pada perhimpunan kali ini.
"Macam sayap juga, mereka minta jika ucapan dasar ketua masing-masing
boleh dijadikan ucapan perasmian mesyuarat, jadi tidak perlu lagi
timbalan presiden rasmikan seperti sebelum ini," katanya.
Selasa lepas, mesyuarat MT UMNO memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat
sayap UMNO akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing dan tidak
lagi oleh timbalan presiden.
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment