Sunday, November 22, 2015
Lima ADUN PKR Dianggap 'Bersama' UMNO - Guan Eng
GEORGE TOWN : Ekoran lima ADUN PKR mengambil sikap berkecuali dalam
proses pengundian usul dikemukakan pembangkang di DUN malam semalam,
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta PKR menilai dengan
teliti tindakan wakil rakyatnya.
Guan Eng berkata, berdasarkan pendirian itu, persepsi kini ialah wakil rakyat PKR itu 'bersama Umno'.
Bagaimanapun, kata Lim, pihaknya akan membiarkan PKR sendiri menguruskan
isu itu sambil berkata akan menjelaskan perkara berkenaan kepada
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, jelasnya dalam satu
sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam DUN Pulau Pinang membincangkan usul yang dikemukakan ADUN Pulau
Betong dari Barisan Nasional (BN), Muhammad Farid Saad mengenai isu
tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar berhampiran muara Sungai
Pinang.
Menurut pembangkang, pembangunan di kawasan itu akan menyebabkan hidupan
laut terancam kerana habitatnya terhapus, selain menjejaskan kehidupan
kira-kira 500 nelayan di kawasan berkenaan.
Selepas dibahaskan, usul itu diundi dan akhirnya ditolak apabila ia
hanya mendapat lapan undi sokongan, manakala 22 lagi menolak.
Lima ADUN PKR pula bersikap berkecuali. Mereka ialah ADUN Bukit Tengah,
Ong Chin Wen; ADUN Penanti, Dr Norlela Ariffin; ADUN Kebun Bunga, Cheah
Kah Peng; ADUN Batu Uban, T Jayabalan dan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai
Loon.
Guan Eng juga mendapat tamparan hebat apabila seorang ADUN DAP, Teh Yee
Cheu (Tanjung Bungah) yang dikenali sebagai aktivis alam sekitar turut
mengundi menyokong usul berkenaan.
Dua lagi ADUN PKR, Law Choo Kiang (Bukit Tambun) dan Maktar Shapee
(Sungai Bakap) tidak boleh mengundi kerana masing-masing menjadi speaker
dan timbalan speaker.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment