Sunday, November 22, 2015

Bermoralkah PKR Melobi Sokongan Daripada Musuh Negara?

Bagi PKR, sesiapa sahaja yang bermusuh dengan musuhnya, adalah secara automatik menjadi kawannya. Ia tidak mengambilkira kemungkinan kawan barunya itu bukan sahaja memusuhi musuhnya tetapi turut memusuhi kewujudan parti itu sendiri.

Justeru meskipun negara dikejutkan dengan serangan anggota bersenjata yang mewakili pihak yang mendakwa dari keturunan Raja Sulu yang mahu menuntut Sabah sebagai miliknya, oleh kerana gerombolan itu menentang kerajaan Malaysia, PKR dilihat menganggap unsur Raja Sulu itu sekutunya.

Kecenderungan PKR ini dilihat dari tindak tanduk dua Naib Presidennya yang bertandang ke Filipina untuk menemui pihak yang mendakwa puteri Raja Sulu bagi melobi sokongan pihak yang pernah menceroboh bumi Malaysia dua tahun lalu.

Lobi itu diusahakan mereka demi  membebaskan Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara kerana kesalahan jenayah.

Di satu sisi, mungkin dirasuk nafsu mahu mengambil alih kerajaan Malaysia dan menjadi pemerintah di negara ini, PKR sanggup bergabung dengan musuh negara yang secara terbuka mahu merampas bumi Malaysia di Sabah.

Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Lembah Pantai dan Tian Chua, ahli parlimen Batu melobi untuk mendapatkan sokongan antarabangsa menekan kerajaan Malaysia membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara.

Soal mengapa beliau dipenjarakan sejak 10 Februari lalu bukan lagi  satu rahsia. Namun PKR menganggapnya satu fitnah politik dan pelanggaran hak asasi yang serius serta boleh mengancam demokrasi di Malaysia.

PKR raih kepercayaan pemimpin antarabangsa

Namun apabila gagal memanfaatkan semua opsyen perundangan, kini PKR melobi masyarakat antarabangsa supaya menerima hujah mereka bahawa Anwar adalah banduan tidak bersalah. Dosanya  hanya kerana beliau digeruni dan menggugat wibawa pemerintah hari ini.

Sesungguhnya serangan gerombolan  tentera Raja Sulu pada Februari 2013 memang adalah satu cabaran seriu dan ganas terhadap kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

Masih tergambar di benak ramai rakyat Malaysia bagaimana apabila pencerobohan itu berlaku, pemimpin pembangkang, khususnya Tian Chua menyindir bahawa episod berdarah yang digerakkan oleh Umno.

Beliau mendakwa bahawa tingkah buruk Umno itu bertujuan imengalih pandangan rakyat daripada masalah domestik Malaysia. Semua itu sandiwara Umno, katanya.

Apabila Umno menuntut dakwaan itu dihakimi di mahkamah, Tian Chua segera menarik balik tuduhannnya itu dan memohon maaf pada Umno. Permohonan maaf itu yang diterima baik oleh Umno,

Bagaimanapun Tian Chua tidak menginsafi keterlanjuran politiknya itu. Pada 9 November lalu, beliau mengiringi puteri Anwar Ibrahim pula untuk melobi sokongan daripada puteri bekas Sultan Sulu, Jacel H.Kiram Hasan.

Sultan berkenaan ialah orang yang bertanggungjawab menumpahkan darah ramai perwira Malaysia dalam serangan di Lahad Datu itu. Yang mendorong Sultan berkenaan ialah mahu merampas Sabah dari Malaysia.

Kini musuh negara Malaysia ialah rakan PKR. Maka adakah lengkap andaian PKR sesiapa sahaja memusuhi kerajaan Malaysia adalah kawan PKR? Apakah PKR tiada rasa kasih dan bangga menjadi rakyat Malaysia?

Nurul Izzah memberi alasan bahawa beliau dan Tian Chua bukan sahaja melobi sokongan daripada kesultanan Sulu. Mereka juga menemui dan menyebarkan versi perbicaraan kes Anwar Ibrahim yang anggap dizalimi pada banyak pihak lain di Filipina.

Malah, beliau menegaskan bahawa Filipina bukan satu-satunya negara yang cuba dilobi untuk menyokong usaha mereka membebaskan Anwar. Sebelum itu, mereka mendakwa sudah mencuba lobi banyak negara di dunia.

PKR beri gambaran buruk terhadap negara

Jika demikian longgar kesetiaan PKR pada Malaysia, tidakkah parti itu juga boleh ditafsirkan sebagai “menghasut” pemimpin dan entiti politik asing supaya memusuhi bukan sahaja sistem kehakiman Malaysia tetapi ketulusan bangsa Malaysia?

Aktiviti PKR ini boleh dibaca sebagai usaha meremeh dan memburukkan sistem pemerintahan dan pengurusan kehakiman Malaysia. Namun yang membimbangkan ialah, dalam lobi itu apakah yang dipertaruhkan?

Dalam keterangan banduan pemeras ugut antarabangsa, Xavier Andre Justo yang kini meringkuk dalam penjara Thailand menyatakan Nurul Izzah mahu pernah membeli maklumat yang dicuri Justo dari PetroSaudi International demi menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika itu bayaran yang ditawarkan Nurul Izzah ialah sekiranya PKR dan pembangkang lain berjaya menubuhkan kerajaan setelah menumbangkan BN imbuhan yang Justo perolehi ialah dalam bentuk kontrak kerajaan Malaysia.

Jika ini benar, ia sudah tentu mencerminkan nafsu serakah PKR untuk memerintah. Jika demikian tawarannya pada Justo apa pula yang akan dibayar oleh anak Anwar ini pada putri Sultan Sulu?

Adakah kemerdekaan dan kedaulatan Sabah akan diserahkan pada Raja Sulu jika PKR memerintah Malaysia?  Jika demikian, tidakkah itu pengkhianatan namanya? 

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment